Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 23 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong mengetuai istiadat upacara angkat sumpah Kabinet bagi penggal baharu pentadbiran negara itu di Istana pada Jumaat, susulan kemenangan besar Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam pilihan raya umum pada 3 Mei.
Majlis itu disiarkan secara langsung di televisyen dan platform media sosial, dan bermula kira-kira 8 malam dengan nyanyian lagu kebangsaan Majulah Singapura, diikuti ucapan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Wong, yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan, mengangkat sumpah kesetiaan dan ikrar pelaksanaan tugas yang disaksikan Presiden Tharman dan Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon.
Perdana Menteri kemudiannya menerima surat cara pelantikan daripada Presiden.
Turut mengangkat sumpah selepas itu ialah Menteri Kanan Lee Hsien Loong, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong, serta tiga Menteri Penyelaras.
Mereka ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Menteri Ehwal Dalam Negeri K. Shanmugam, Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam dan Menteri Pertahanan Chan Chun Sing, serta Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial dan Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.
Selepas itu, sembilan Menteri, 12 Menteri Negara Kanan dan lapan Menteri Negara turut mengangkat sumpah.
Kesemua menteri berkenaan mengangkat sumpah kesetiaan dan ikrar pelaksanaan tugas dan menerima surat cara pelantikan daripada Presiden.
Seorang lagi Menteri Negara, Zhulkarnain Abdul Rahim, akan mengangkat sumpah pada tarikh yang akan diumumkan kemudian kerana pelantikannya hanya berkuat kuasa mulai 1 Feb 2026.
Setiausaha Parlimen Kanan juga akan mengangkat sumpah pada tarikh yang berasingan.
Wong mengumumkan barisan Kabinet baharunya pada Rabu (21 Mei).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial