KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh akan melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia pada Ahad bagi memperkukuh kerjasama strategik menyeluruh dan mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Kementerian Luar dalam kenyataan pada Sabtu berkata lawatan itu diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini di ibu negara Malaysia.
Ini merupakan lawatan pertama Chinh ke Malaysia sejak beliau dipilih sebagai Perdana Menteri Vietnam pada April 2021. Beliau akan diiringi isterinya Le Thi Bich Tran serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Bui Thanh Son dan beberapa pegawai kanan lain.
Chinh akan diberikan sambutan rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra, Putrajaya, diikuti mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin.
Kementerian itu berkata mesyuarat itu akan memberi tumpuan kepada kemajuan kerjasama dua hala yang sedang berjalan, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga boleh baharu, pelancongan serta teknologi digital.
“Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan secara mendalam mengenai perkembangan serantau dan global, dengan penekanan terhadap peranan strategik ASEAN sebagai platform yang bersepadu dan responsif dalam menangani isu bersama, khususnya di tengah cabaran geopolitik dan geoekonomi yang kian meningkat,” menurut kenyataan itu.
ASEAN terdiri daripada 10 negara anggota: Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 tahun ini diadakan di bawah tema Kepengerusian ASEAN 2025 Malaysia, iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Malaysia dan Vietnam telah meningkatkan hubungan dua hala mereka kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada November 2024.
Pada 2024, Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global dan keempat terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN. Jumlah dagangan dua hala Malaysia-Vietnam mencecah RM83.11 bilion, dengan eksport Malaysia ke Vietnam bernilai RM53.86 bilion, manakala import dari Vietnam berjumlah RM29.25 bilion.
Syarikat Malaysia telah melaksanakan lebih 700 projek di Vietnam merentasi pelbagai sektor, dengan nilai pelaburan kumulatif melebihi US$13 bilion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial