DUNIA > BERITA

Pilihan Raya Presiden Korea Selatan: Sokongan Lee Merosot, Kim Semakin Meningkat

26/05/2025 05:27 PM

SEOUL, 26 Mei (Bernama-Yonhap) -- Pertandingan tiga penjuru bagi jawatan Presiden Korea Selatan semakin sengit apabila sokongan terhadap calon Parti Demokrat (DP), Lee Jae Myung dilaporkan semakin merosot dalam tinjauan pendapat terbaru manakala calon Parti Kuasa Rakyat (PPP), Kim Moon Soo semakin mendapat momentum hanya beberapa hari sebelum pengundian, lapor agensi berita Yonhap.

Dengan pilihan raya kini berbaki lapan hari, Lee masih mendahului, namun jurang antara beliau dan Kim semakin mengecil dengan ketara.

Sementara itu, Lee Jun Seok daripada Parti Reformasi Baharu (NRP) yang lebih kecil, mengekalkan sokongan dua digit.

Menurut tinjauan Realmeter yang dikeluarkan pada Sabtu lepas, Lee Jae Myung memperoleh 46.6 peratus sokongan diikuti Kim dengan 37.6 peratus dan Lee daripada NRP dengan 10.4 peratus.

Tinjauan itu mempunyai margin ralat sebanyak 3.1 mata peratusan pada tahap keyakinan 95 peratus.

Sebagai perbandingan, tinjauan Realmeter yang dikeluarkan pada 11 Mei, sehari sebelum kempen rasmi bermula, menunjukkan Lee Jae Myung memperoleh 52.1 peratus sokongan diikuti Kim 31.1 peratus dan Lee daripada NRP sebanyak 6.3 peratus.

Spekulasi mengenai kemungkinan penggabungan antara calon PPP dan NRP juga terus diperkatakan, khususnya menjelang pengundian awal yang akan bermula Khamis ini.

Lee daripada NRP yang pernah menerajui PPP, bagaimanapun menolak untuk menarik diri daripada perebutan jawatan presiden.

Lee daripada DP kekal sebagai calon utama untuk menggantikan bekas Presiden Yoon Suk Yeol, yang disingkirkan susulan percubaannya melaksanakan undang-undang tentera yang gagal.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan