Lelaki Singapura Ditahan Bantu Siasatan Kes Pertengkaran, Khianat

08/06/2025 11:25 PM

JOHOR BAHRU, 8 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki warga Singapura ditahan bagi membantu siasatan kes pertengkaran dengan seorang individu dan perbuatan khianat terhadap sebuah kereta di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada 3.01 petang semalam daripada seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.

Beliau berkata bertindak atas laporan itu, polis berjaya menahan suspek yang berusia 40 tahun kira-kira 6.20 petang tadi.

“Dalam laporannya, pengadu menyatakan semasa memandu kereta jenis BMW pada 2.39 petang di kawasan Taman Ungku Tun Aminah, sebuah kereta Toyota Altis bernombor pendaftaran Singapura membunyikan hon beberapa kali kepadanya dipercayai tidak berpuas hati kerana menghalang laluan.

“Susulan itu, berlaku pertengkaran mulut antara mereka dan suspek telah menendang kereta pengadu sehingga mengakibatkan kerosakan. Bagaimanapun, pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Balveer Singh berkata suspek yang tidak memiliki rekod jenayah lampau dan negatif terhadap dadah akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru esok untuk proses permohonan reman.

Kes katanya disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 509 kanun sama kerana mengaibkan kehormatan seseorang.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara menerusi talian 07-5563122 untuk membantu siasatan.

Terdahulu, polis mengesan video tular menerusi Facebook memaparkan dua lelaki sedang bertengkar di kawasan tepi jalan dan kesan remuk pada sebuah kereta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan