DUNIA > BERITA

Filipina Komited Sokong Usaha Keanggotaan Timor-Leste Dalam ASEAN

27/05/2025 04:49 PM

MANILA, 25 Mei (Bernama-PNA) -- Filipina akan terus menyokong usaha Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), kata bakal Setiausaha Hal Ehwal Luar Theresa Lazaro pada Sabtu.

Menurut Agensi Berita Filipina (PNA), Lazaro yang kini merupakan Setiausaha Rendah Hal Ehwal Luar bagi Hubungan Dua Hala dan Hal Ehwal ASEAN mewakili Manila dalam Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN pada 24 Mei sebagai persediaan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Mesyuarat Berkaitan di Kuala Lumpur, Malaysia.

“Kami membincangkan kepentingan memperkukuh pemusatan ASEAN sambil mengembangkan perkongsian strategik,” katanya menerusi hantaran di X.

“Kami juga komited menyokong proses penyertaan Timor-Leste serta menyumbang kepada pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2045.”

Blok serantau itu sebelum ini telah memberikan status pemerhati kepada negara berkenaan serta membenarkan penyertaannya dalam semua mesyuarat termasuk sesi pleno sidang kemuncak.

Dalam kenyataan pada November 2022, pemimpin ASEAN telah bersetuju “secara prinsip untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11” blok itu.

Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) sebelum ini memaklumkan bahawa penyertaan Timor-Leste ke dalam blok itu merupakan antara agenda utama dalam mesyuarat ASEAN yang akan datang.

Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Mesyuarat Berkaitan di Malaysia pada 26 dan 27 Mei.

Anggota semasa ASEAN ialah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

-- BERNAMA-PNA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan