HANOI, 27 Mei (Bernama-VNA/VNS) -- Perdana Menteri Vietnam Phạm Minh Chinh menyeru Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) supaya terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan persekitaran perniagaan serantau.
Berucap pada sesi dialog peringkat tinggi yang diadakan pada Isnin sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Chinh menekankan peranan majlis itu dalam mewakili sektor swasta, memacu integrasi ekonomi, mengukuhkan rantaian bekalan serta memajukan transformasi digital dan hijau selaras dengan Visi Komuniti ASEAN 2045, lapor Vietnam News.
Semasa dialog bersama para pemimpin ASEAN, anggota ASEAN-BAC dan wakil belia, ASEAN-BAC menggariskan beberapa keutamaan strategik, termasuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-wilayah, memupuk integrasi ekonomi yang lebih mendalam serta membina blok yang berdaya tahan, inklusif dan mampan.
Merenung kembali sedekad pembinaan komuniti ASEAN, Chinh menekankan peranan penting komuniti perniagaan dalam inovasi dan kesalinghubungan ekonomi.
Beliau menggesa kerjasama diperbaharui antara kerajaan dan sektor swasta untuk menggiatkan semula pemacu pertumbuhan tradisional serta mempromosikan sektor seperti sains, teknologi dan transformasi digital.
Beliau turut menekankan keperluan untuk menambah baik rantaian bekalan serantau dan global, membina daya tahan ekonomi strategik serta membangunkan sumber manusia berkualiti tinggi melalui kerjasama lebih kukuh antara kerajaan, sektor perniagaan dan institusi pendidikan.
ASEAN-BAC telah membentangkan beberapa cadangan konkrit bagi mempercepat integrasi dan usaha kemampanan. Ini termasuk penubuhan entiti perniagaan ASEAN bagi memudahkan operasi rentas sempadan, pasaran modal swasta ASEAN, rangka kerja pasaran karbon bersama serta platform digital bagi memperkemas prosedur dan mengurangkan kos transaksi.
ASEAN-BAC mengunjurkan bahawa inisiatif perdagangan digital mampu meningkatkan KDNK blok itu sehingga US$5.5 bilion.
Chinh menyambut baik inisiatif berpandangan ke hadapan itu dan mengulangi komitmen Vietnam terhadap ekonomi ASEAN yang dinamik, berdaya tahan, inklusif dan mampan.
Beliau menegaskan bahawa perniagaan merupakan teras pertumbuhan ASEAN dan berikrar untuk membina institusi terbuka, mewujudkan infrastruktur yang cekap serta melaksanakan tadbir urus pintar demi menyokong pembangunan serantau.
-- BERNAMA-VNA/VNS
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial