BEIJING, 9 Jun (Bernama-Xinhua) -- Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, pihak kastam di dua lapangan terbang utama Beijing memproses permohonan pemulangan cukai berlepas kepada pelancong asing berjumlah kira-kira 478 juta yuan (sekitar US$66.52 juta), meningkat 91.61 peratus berbanding tahun lalu, sekali gus mencatat rekod baharu bagi tempoh sama dalam sejarah, menurut Kastam Beijing.
Dari Januari hingga Mei 2025, Kastam Beijing Capital International Airport dan Beijing Daxing International Airport mengendalikan sejumlah 12,180 permohonan pemulangan cukai berlepas oleh pelawat asing, peningkatan 147.01 peratus tahun ke tahun.
Bagi tempoh yang sama, Kastam Beijing Daxing International Airport sahaja memproses permohonan berjumlah lebih 72.37 juta yuan, peningkatan hampir 200 peratus berbanding tahun lalu.
Menurut pihak kastam perbandaran, dasar transit bebas visa selama 240 jam telah menyumbang secara signifikan kepada peningkatan jumlah pelawat asing ke China.
Seiring usaha China memperkemas dasar pemulangan cukai untuk pelancong asing, potensi perbelanjaan pelancongan masuk sedang dimanfaatkan sepenuhnya. Semasa cuti perayaan Perahu Naga baru-baru ini, jumlah permohonan pemulangan cukai yang diproses di kedua-dua lapangan terbang meningkat sebanyak 263.81 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala jumlah bayaran balik keseluruhan meningkat 130.59 peratus, menurut data Kastam Beijing.
Kastam Beijing Capital International Airport kini mempunyai beberapa kaunter pemulangan cukai di kawasan berlepas, yang membantu mempercepatkan proses susulan permintaan yang semakin meningkat. Sementara itu, Kastam Beijing bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa percukaian, pegawai pelancongan dan Capital Airports Holdings Co, Ltd, untuk mempromosikan prosedur pemulangan cukai melalui media lapangan terbang, sistem multimedia, dan platform media baharu rasmi.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial