SEOUL, 15 Jun (Bernama-Yonhap) -- Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung, pada Sabtu mengarahkan supaya langkah segera dirangka bagi menghalang pelancaran risalah anti-Pyongyang di kawasan sempadan dengan Korea Utara, lapor Agensi Berita Yonhap.
Arahan itu dikeluarkan susulan laporan mengenai tindakan sebuah kumpulan masyarakat sivil yang melancarkan risalah berkenaan dari Pulau Ganghwa di Incheon, barat Seoul awal hari ini, menurut jurucakap presiden Kang Yu-jung dalam taklimat bertulis.
Pihak polis kini sedang menyiasat tiga belon yang ditemukan di Ganghwa dan Bandar Gimpo.
Belon berkenaan dilaporkan mengandungi buku kecil Bible dan snek, namun tiada risalah yang secara langsung mengkritik rejim Korea Utara ditemukan.
“Kerajaan sebelum ini menegaskan bahawa pengedaran risalah anti-Pyongyang secara haram mesti dihentikan kerana ia boleh membahayakan keselamatan penduduk di kawasan sempadan dan meningkatkan ketegangan ketenteraan di Semenanjung Korea,” kata Kang sambil menambah bahawa kerajaan memandang serius tindakan pihak yang melanggar arahan itu.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.
Mesyuarat bagi membincangkan langkah komprehensif terhadap isu itu dijadualkan berlangsung pada Isnin.
Awal minggu ini, Presiden Lee juga mengarahkan agensi-agensi kerajaan berkaitan supaya merangka strategi menangani isu terbabit.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial