DUNIA > BERITA

Warga Malaysia Ditahan Cuba Seludup Dadah Di Pusat Pemeriksaan Woodlands

17/06/2025 06:33 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 17 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki warga Malaysia berusia 30 tahun ditahan pada Sabtu kerana cuba menyeludup dadah bernilai lebih S$173,000 (S$1 = RM3.30), termasuk kira-kira 1.4 kilogram heroin ke Singapura, menurut pihak berkuasa pada Selasa.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) serta Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam kenyataan bersama memaklumkan bahawa pegawai ICA menemukan satu bungkusan yang dipercayai mengandungi dadah di belakang ruang sarung tangan dalam sebuah kereta berdaftar Malaysia semasa pemeriksaan ketat di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

“Pegawai CNB segera dimaklumkan mengenai penemuan itu dan menjalankan pemeriksaan lanjut, yang kemudiannya menemukan dua lagi bungkusan di lokasi sama dalam kenderaan terbabit.

“Bungkusan-bungkusan itu kemudian disahkan mengandungi kira-kira 1,402 gram heroin, 495 gram ganja dan 115 gram dadah jenis ‘Ice’,” menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa siasatan masih dijalankan.

Pihak berkuasa berkata dadah yang dirampas itu berpotensi untuk kegunaan kira-kira 800 penagih selama seminggu.

Di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, individu yang mengimport atau mengeksport lebih 15 gram diamorfin, atau heroin tulen ke atau dari Singapura boleh dikenakan hukuman mati.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan