SHANGHAI, 21 Jun (Bernama-Xinhua) -- Syarikat pembuat kereta Amerika Syarikat, Tesla, pada Jumaat menandatangani perjanjian dengan rakan usaha sama China untuk membina sebuah stesen penyimpanan tenaga di sisi grid di Shanghai menggunakan bateri penyimpanan tenaga Megapack miliknya, lapor Xinhua.
Perjanjian itu, dengan jumlah pelaburan sebanyak 4 bilion yuan (kira-kira US$556 juta), menandakan langkah Tesla memasuki pasaran penyimpanan tenaga China yang semakin berkembang, sekali gus membuka laluan bagi kemudahan berkenaan disambungkan kepada grid kuasa negara itu yang merupakan terbesar di dunia.
Stesen penyimpanan tenaga berskala gigawatt-jam itu akan dibina di Kawasan Khas Lin-gang dalam Zon Perdagangan Bebas Perintis China (Shanghai), menurut perjanjian yang ditandatangani oleh Tesla bersama Jawatankuasa Pentadbiran Kawasan Khas Lin-gang, pihak berkuasa tempatan Daerah Fengxian di Shanghai, serta China Kangfu International Leasing Co Ltd.
Ia akan menjadi stesen penyimpanan tenaga di sisi grid pertama Tesla yang dibina di tanah besar China.
Pengurus Besar perniagaan tenaga Tesla China Dong Kun berkata stesen berkenaan akan menyertai dagangan elektrik pasaran semasa sebaik beroperasi kelak, bagi membantu mengimbangi permintaan tenaga semasa waktu puncak dan luar puncak serta meningkatkan kestabilan grid.
Tesla juga akan meningkatkan kerjasama dengan China Kangfu bagi melancarkan penyelesaian tenaga sifar karbon ke peringkat global.
Pada Februari tahun ini, kilang baharu Tesla iaitu Megafactory di Kawasan Khas Lin-gang, yang merupakan loji keduanya di Shanghai selepas Gigafactory, telah memulakan pengeluaran bateri Megapack.
Tesla menjangkakan peningkatan tahunan sebanyak 50 peratus dalam penyebaran penyimpanan tenaga pada tahun 2025.
--BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial