DUNIA > BERITA

Iran Berikan Amaran Kepada AS Agar Tidak Terlibat Dalam Serangan Israel, Gesa Kembali Ke Meja Rundingan

21/06/2025 08:50 PM

ANKARA, 21 Jun (Bernama-Anadolu) -- Menteri Luar Iran Abbas Araghchi pada Sabtu memberi amaran bahawa penglibatan Amerika Syarikat dalam serangan berterusan Israel ke atas Iran akan menjadi “amat malang” dan “sangat berbahaya untuk semua pihak”, menurut laporan Anadolu Ajansi (AA).

Bercakap kepada wartawan di Istanbul menjelang Sesi ke-51 Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Araghchi berkata: “Diplomasi pernah berjaya sebelum ini, dan ia boleh berjaya sekali lagi. Tetapi untuk kembali kepadanya, serangan mesti dihentikan.”

Beliau menegaskan kesediaan Iran untuk berunding secara damai, sambil berkata: “Kami benar-benar bersedia untuk penyelesaian melalui rundingan, sama seperti pada 2015.”

Menteri itu turut mendakwa Israel menolak usaha diplomatik, dengan berkata: “Israel jelas menentang diplomasi.”

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa penghentian permusuhan merupakan prasyarat kepada sebarang kemajuan diplomatik.

Permusuhan tercetus pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di seluruh Iran termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, yang mendorong Tehran melancarkan serangan balas.

Pihak berkuasa Israel berkata sekurang-kurangnya 25 orang telah terbunuh dan ratusan lagi cedera akibat serangan peluru berpandu Iran sejak itu.

Sementara itu, menurut Kementerian Kesihatan Iran, serangan Israel telah mengorbankan 430 orang dan mencederakan lebih 3,500 lagi di Iran.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan