DUNIA > BERITA

Perkongsian Pintar Malaysia-Vietnam Perluas Ekonomi Halal Global - Duta

26/06/2025 04:41 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 26 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Vietnam bersedia menjalin perkongsian pintar bagi meneroka potensi ekonomi halal global yang semakin berkembang pesat dengan memanfaatkan kelebihan ekonomi sedia ada antara kedua-dua negara.

Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai berkata kemasukan ke pasaran halal memerlukan pemahaman mendalam terhadap piawaian serta keperluan pengguna, yang boleh ditangani melalui strategi praktikal jangka panjang antara Malaysia dan Vietnam.

Vietnam kini giat berusaha menembusi pasaran halal antarabangsa yang bernilai berbilion dolar, berbekalkan kekuatan eksport dalam sektor pertanian.

“Bagi mempercepat penyertaan Vietnam, Malaysia mencadangkan satu strategi yang praktikal dan berkesan.

“Strategi ini menggalakkan syarikat Vietnam untuk memanfaatkan infrastruktur halal Malaysia, termasuk kemudahan pensijilan serta bekalan bahan mentah halal yang sedia ada.

“Pendekatan ini memudahkan syarikat Vietnam untuk memenuhi piawaian antarabangsa dan mempercepatkan pemasaran produk mereka ke pasaran global,” kata Tan dalam seminar bertajuk “Accessing the Global Halal Market — Opportunities for Vietnamese Enterprises” yang berlangsung di Hanoi pada Rabu.

Sektor pertanian Vietnam mencatat nilai eksport RM263 bilion (US$62.4 bilion) tahun lalu, dengan lebihan dagangan sebanyak RM81 bilion (US$18.6 bilion).

Pusat Halal Vietnam menganggarkan negara itu berpotensi menghasilkan produk bernilai RM144 bilion (US$34 bilion) untuk pasaran negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Vietnam ialah negara yang memiliki lebihan pertanian. Ia kaya dengan bahan mentah halal berpotensi tinggi seperti kopi, beras, hasil laut, produk akuakultur, rempah ratus, kekacang, sayur-sayuran dan buah-buahan yang menunjukkan potensi besar dalam penghasilan produk akhir,” kata Pengarah Agensi Pensijilan Halal Vietnam (HALCERT), Ramlan Osman kepada Bernama dari Hanoi.

Tan turut menggalakkan syarikat Vietnam mendapatkan bahan mentah halal dari Malaysia bagi memudahkan penghasilan produk yang diperakui halal.

Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke-6 (MIHAS) yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 17 hingga 20 Sept turut dijangka menjadi platform terbaik bagi meneroka peluang kerjasama.

“Dengan bekerjasama, kita mampu membuka ruang besar kepada pertumbuhan dan kemakmuran bersama.

“Dengan semangat keusahawanan Vietnam serta komitmen bersama terhadap kerjasama, saya yakin Vietnam bakal menjadi pemain penting dan berjaya dalam ekonomi halal global,” kata Tan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan