JAKARTA, 28 Jun (Bernama) -- United Kingdom (UK) buat pertama kalinya menyertai Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) melalui rundingan terbuka semasa sesi ke-25 forum itu yang diadakan di Putrajaya, Malaysia dari 23 hingga 27 Jun.
Menurut kenyataan Misi UK ke ASEAN, penyertaan UK yang diwakili oleh Pengarah Strategi Antarabangsa, Penglibatan dan Devolusi Pejabat Dalam Negerinya Asim Hafeez menandakan langkah penting dalam mengembangkan perkongsiannya dengan Asia Tenggara mengenai keselamatan serantau dan penguatkuasaan undang-undang.
Semasa sesi itu, UK dan Vietnam telah bersama-sama membentangkan cadangan bagi usaha serantau pada masa depan untuk memerangi pemerdagangan orang dan pusat penipuan, yang disifatkan mendatangkan kemudaratan serius dan menjejaskan keselamatan di seluruh rantau ini.
Penglibatan itu dibina atas kerjasama sedia ada antara UK dan ASEAN, termasuk perkongsian antara Agensi Jenayah Kebangsaan UK dan Ketua Polis ASEAN (ASEANPOL) serta sokongan untuk menubuhkan Kumpulan Kerja Pengubahan Wang Haram ASEAN dengan kerjasama Malaysia dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).
Duta Besar UK ke ASEAN Sarah Tiffin berkata negara itu komited bekerjasama dengan ASEAN untuk menangani jenayah terancang yang serius.
“Jenayah ini bukan sahaja memudaratkan individu dan masyarakat malah turut menghakis kepercayaan, mendorong aktiviti rasuah, melemahkan tadbir urus dan mengancam kedaulatan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata UK berbesar hati untuk menyokong usaha serantau membanteras penipuan dan kewangan haram yang dilihat sebagai pemacu jenayah terancang dan ketidakstabilan.
UK juga berjanji untuk menyokong Sidang Kemuncak Penipuan Global UNODC-INTERPOL di Vienna pada Mac 2026 dan akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kewangan Haram di London, kedua-duanya bertujuan mengukuhkan kerjasama antarabangsa dan memajukan standard global.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN pada 2025, turut mengalu-alukan hubungan lebih erat dengan UK, terutamanya dalam usaha memperkukuh integriti kewangan, menangani penipuan dalam talian serta membanteras rangkaian jenayah yang mengeksploitasi kelemahan serantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial