DUNIA > BERITA

Pelancong Malaysia Selamat Selepas Terapung Ketika Snorkel Di Labuan Bajo

30/06/2025 02:31 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 30 Jun (Bernama) -- Seorang pelancong Malaysia yang dihanyutkan arus deras ketika melakukan aktiviti snorkel di perairan Pulau Gili Lawa, Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia, ditemukan selamat pada Ahad.

Dalam video yang dikeluarkan oleh agensi mencari dan menyelamat nasional Indonesia (Basarnas), Amirah Bazil, 35, dilihat memberi isyarat meminta pertolongan dari kawasan perairan cetek berhampiran Gili Lawa sebelum dibantu naik ke bot penyelamat.

“Beliau sedang melakukan aktiviti snorkel bersama rakan-rakan pada awal pagi Ahad sebelum terpisah daripada kumpulan akibat arus deras,” kata Ketua Basarnas Maumere, Fathur Rahman dalam kenyataan.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) gabungan segera digerakkan dari Pos SAR Manggarai Barat selepas menerima laporan kejadian sekitar 6.45 pagi waktu tempatan.

Namun sebelum pasukan penyelamat tiba, sebuah bot laju yang melalui kawasan berkenaan, Fenides, mengesan Amirah berhampiran pantai dan membawanya ke bot Sea More Papua - bot yang menjadi hos kepada trip menyelam mereka.

“Beliau ditemukan dalam keadaan sedar, tidak cedera dan tersenyum apabila pasukan kami tiba di bot berkenaan. Beliau merancang untuk meneruskan percutian di kawasan Labuan Bajo,” tambah Fathur.

Pihak berkuasa memuji tindakan pantas yang berjaya menyelamatkan mangsa hasil kerjasama antara pasukan SAR dan kru bot tempatan yang beroperasi di kawasan berkenaan.

Labuan Bajo yang terletak dalam kawasan Taman Negara Komodo terkenal sebagai destinasi selam skuba dengan airnya yang jernih dan arus laut yang kuat.

Ini merupakan kejayaan operasi penyelamatan kedua membabitkan rakyat Malaysia bulan ini, selepas seorang pendaki Malaysia berjaya diselamatkan pada Jumaat lalu selepas tergelincir ketika menuruni Danau Segara Anak di Gunung Rinjani, Lombok, Nusa Tenggara Barat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan