HO CHI MINH CITY, 7 Julai (Bernama-VNA) – Lapan orang maut dalam kebakaran dahsyat yang berlaku lewat Ahad malam di sebuah bangunan kediaman di Ward Phu Tho Hoa, Ho Chi Minh City, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Kebakaran itu berlaku sejurus selepas 10 malam di Blok A Kompleks Pangsapuri Doc Lap di Do Doc Long Street.
Laporan awal menunjukkan kebakaran bermula di tingkat bawah sebelum merebak dengan cepat, menyebabkan penghuni terperangkap di dalam bangunan.
Penduduk sekitar cuba memadamkan api menggunakan pemadam api mudah alih tetapi gagal kerana api semakin marak dengan cepat. Asap tebal dan suhu panas menyebabkan penduduk bergegas menyelamatkan diri manakala ada di antara mereka tidak sempat melarikan diri.
Seorang penduduk tempatan berkata kebakaran itu dipercayai bermula dari sebuah unit di tingkat bawah, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan penghuni.
Orang ramai bergegas keluar menyelamatkan diri ketika jentera bomba dan ambulans tiba di lokasi, dan beberapa mayat dilihat dibawa keluar oleh pasukan penyelamat.
Seorang saksi lain berkata mereka mendengar letupan kuat ketika api marak dan usaha memadam kebakaran dari luar dihalang oleh pintu pagar besi yang berkunci serta pelbagai halangan lain.
Pasukan bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat polis bandar raya itu mengerahkan beberapa jentera dan puluhan anggota ke lokasi kejadian.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa lapan orang terkorban dalam kebakaran itu.
Empat mangsa, termasuk dua orang dewasa dan dua kanak-kanak, dibawa ke Hospital Thong Nhat, manakala empat lagi mangsa dewasa dibawa ke Hospital Tan Phu.
Di tempat kejadian, beberapa buah motosikal, basikal dan sebuah kereta didapati hangus dijilat api.
Kawasan kejadian telah ditutup kepada orang ramai sementara siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan menilai tahap kerosakan keseluruhan.
Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri Nguyen Hoa Binh bagi pihak Perdana Menteri Pham Minh Chinh menyampaikan ucapan takziah dan mengarahkan tindakan segera susulan kebakaran di Kompleks Pangsapuri Doc Lap.
Jawatankuasa Rakyat Ho Chi Minh City diarahkan untuk segera memberikan bantuan kepada keluarga terjejas serta bekerjasama dengan Kementerian Keselamatan Awam untuk menyiasat punca kebakaran dan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebarang pelanggaran.
-- BERNAMA-VNA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial