DUNIA > BERITA

Sekurang-kurangnya 224 Terbunuh, Lebih 1,000 Cedera Dalam Serangan Israel Ke Atas Iran

16/06/2025 05:19 PM

ISTANBUL, 16 Jun (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya 224 orang terbunuh dan lebih 1,000 lagi cedera sejak Israel melancarkan serangan ke atas Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.

"Seramai 224 rakyat Iran terkorban dan lebih seribu lagi cedera akibat serangan yang dilancarkan oleh entiti Israel ke atas beberapa lokasi di dalam negara sepanjang tiga hari lalu," menurut Agensi Berita Mehr yang memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Iran awal pagi Isnin.

Jurucakap kementerian Hossein Kermanpour berkata jumlah keseluruhan kematian dan kecederaan kini mencecah 1,481 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 1,277 orang telah dibawa ke hospital universiti untuk menerima rawatan, manakala selebihnya telah dibenarkan keluar selepas menerima rawatan perubatan.

Lebih 90 peratus daripada mangsa yang cedera adalah orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, menurut Kermanpour dalam satu hantaran di media sosial.

Angka korban itu susulan ketegangan yang semakin memuncak selepas Israel melancarkan serangan pada Jumaat ke atas kemudahan nuklear dan peluru berpandu Iran yang menyebabkan kematian beberapa pegawai tertinggi tentera dan saintis, sekali gus mendorong Iran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu balistik dan dron ke arah sasaran di Israel.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan