Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 8 Julai (Bernama) -- Dua jurulatih dari Malaysia telah disahkan menyertai kelab bola sepak Persis Solo sebagai langkah strategik untuk memperkukuh barisan kejurulatihan kelab Liga 1 Indonesia menjelang musim 2025/2026.
Mohamad Zulhazman Zulazwar dilantik sebagai penolong jurulatih manakala Khairulanwar Md Isa sebagai jurulatih kecergasan, susulan pelantikan Peter de Roo sebagai ketua jurulatih pada 27 Jun lepas.
Penganalisis perlawanan dan pemegang lesen kejurulatihan AFC “A”, Mohamad Zulhazman pernah berkhidmat bersama Kedah FA, Selangor FC, skuad kebangsaan Malaysia dan kelab Police Tero FC di Thailand.
Beliau pernah bekerja dengan Peter de Roo semasa de Roo berkhidmat sebagai pengarah teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), menurut kelab menerusi hantaran di platform X.
“Saya berbesar hati menyertai Persis dan kembali bekerjasama dengan Coach Peter. Saya percaya dengan visi kelab ini dan bersedia memberikan komitmen penuh,” kata Zulhazman.
Khairulanwar, yang berpengalaman dalam bidang kecergasan dan sains sukan bersama Selangor FC, Felcra FC dan Kuala Lumpur City FC, kini memulakan penampilan profesional pertamanya di luar negara.
“Saya teruja menyertai Persis. Ini adalah cabaran baharu dan saya bersedia menyesuaikan diri dengan budaya bola sepak Solo,” katanya.
Kedua-dua jurulatih akan memulakan tugas dalam masa terdekat untuk persiapan pramusim kelab berpusat di Solo atau juga dikenali sebagai Surakarta yang terletak di Jawa Tengah.
Ditubuhkan pada 1923, kelab yang beraksi di Stadium Manahan berkapasiti 20,000 tempat duduk menamatkan saingan di tangga ke-7 musim lalu dan berjaya meraih tempat ketiga dalam Piala Presiden.
Musim Liga 1 Indonesia 2025-26 bakal bermula 8 Ogos dan berakhir 10 Mei 2026, termasuk rehat pertengahan musim dari 7 hingga 19 Disember bagi memberi laluan kepada Sukan SEA di Thailand.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial