DUNIA > BERITA

Perjalanan Bebas Visa Malaysia-China Bermula 17 Julai

16/07/2025 12:35 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Warganegara Malaysia akan menikmati kemasukan tanpa visa ke China bagi lawatan jangka pendek berjumlah sehingga 90 hari dalam tempoh 180 hari, berkuat kuasa 17 Julai.

Dalam satu kenyataan, Kedutaan China di Malaysia memaklumkan bahawa di bawah Perjanjian Pengecualian Visa Bersama Malaysia-China, pemegang pasport Malaysia dan China boleh memasuki, keluar atau transit di negara masing-masing tanpa visa dan tinggal sehingga 30 hari bagi setiap lawatan, bermula Khamis ini.

Kemudahan bebas visa itu merangkumi tujuan seperti pelancongan, lawatan keluarga, urusan perniagaan, pertukaran budaya, urusan peribadi, rawatan perubatan dan perjalanan sebagai anak kapal.

“Tempoh tinggal secara terkumpul tidak boleh melebihi 90 hari dalam mana-mana tempoh 180 hari,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan turut menjelaskan bahawa mereka yang merancang untuk tinggal melebihi 30 hari, atau ingin bekerja, belajar, menjalankan aktiviti media atau apa-apa aktiviti lain yang memerlukan kelulusan awal, perlu memohon visa yang bersesuaian sebelum memasuki negara berkenaan.

Untuk pertanyaan, sila hubungi:

Pusat Perkhidmatan Permohonan Visa China (Kuala Lumpur) Tel: 0060-389663925 (hari bekerja 13:00-17:00), E-mel: klcentre@visaforchina.org

Konsulat Jeneral China di Kuching: Tel: 0060-82238344 atau 0060-1112597159 (hari bekerja 9:30-11:30, 14:30-16:30), E-mel: kuching@csm.mfa.gov.cn

Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu: Tel: 0060-88385481 atau 0060-143681380 (hari bekerja 9:30-11:30, 13:30-15:30), E-mel:kk@csm.mfa.gov.cn

Perjanjian untuk melanjutkan pengecualian visa antara China dan Malaysia itu dipersetujui semasa lawatan negara Presiden China Xi Jinping di Kuala Lumpur pada April.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan