BEIJING, 16 Julai (Bernama-CMG) -- Perdana Menteri China Li Qiang berkata China bersedia bekerjasama dengan Australia untuk meningkatkan dan meluaskan kerjasama dua hala, mewujudkan hasil sama menang yang bertaraf lebih tinggi demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
Li menyatakan demikian sempena Pertemuan Tahunan Perdana Menteri China-Australia ke-10 bersama rakan sejawatnya Anthony Albanese di sini, pada Selasa.
Beliau berkata China dan Australia saling melengkapi dari segi ekonomi, sementara mempunyai ruang kerjasama yang meluas dalam bidang tenaga dan sumber mineral, produk pertanian, pembangunan hijau, serta inovasi sains dan teknologi.
Oleh itu, Li berkata China dan Australia harus memanfaatkan pelbagai mekanisme dialog yang sedia ada, mencari lebih banyak kepentingan bersama dan titik pertumbuhan ekonomi, selain merangsang potensi kerjasama yang cukup besar dalam sektor ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara.
Albanese pula menyatakan, hubungan Australia-China kini menunjukkan momentum perkembangan positif. Pihaknya komited untuk membina hubungan bilateral dengan China ke arah lebih stabil dan konstruktif.
Beliau berkata Australia bersedia untuk mengukuhkan pertukaran dan dialog peringkat tinggi dengan China dalam pelbagai bidang, termasuk hubungan luar, ekonomi dan perdagangan, sambil memastikan hubungan dua hala tidak terganggu oleh perbezaan dan perselisihan.
Selepas pertemuan itu, kedua-dua perdana menteri menyaksikan pemeteraian siri dokumen kerjasama melibatkan sektor perdagangan, pemeriksaan kastam dan kuarantin, pertanian dan pelancongan, selain mengeluarkan Kenyataan Bersama Pencapaian Pertemuan Tahunan Perdana Menteri China-Australia.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial