DUNIA > BERITA

Trump Mahu Keterangan Juri Agung Dalam Kes Epstein Didedahkan

18/07/2025 06:31 PM

WASHINGTON, 18 Julai (Bernama-dpa) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis mengarahkan Peguam Negara untuk mengemukakan keterangan “berkaitan” daripada Juri Agung dalam kes melibatkan pesalah seks Jeffrey Epstein, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Berdasarkan liputan yang tidak munasabah terhadap Jeffrey Epstein, saya telah meminta Peguam Negara Pam Bondi untuk mengemukakan semua keterangan Juri Agung yang berkaitan, tertakluk kepada kelulusan Mahkamah,” tulis Trump di platform media sosialnya, Truth Social.

“Penipuan yang didalangi Demokrat ini perlu dihentikan sekarang juga!”

Beberapa minit kemudian, Bondi membalas di X bahawa Jabatan Kehakiman “sedia membawa perkara ini ke mahkamah esok bagi membatalkan meterai transkrip Juri Agung itu.”

Semasa kempen pilihan raya presidennya tahun lepas, Trump berjanji akan mendedahkan fail berkaitan tokoh kewangan yang memalukan itu, yang meninggal dunia pada 2019 dalam sel penjara di New York dalam kejadian yang secara rasmi diklasifikasikan sebagai bunuh diri.

Kematian Epstein mencetuskan pelbagai spekulasi, khususnya dalam kalangan kumpulan sayap kanan AS, meskipun penemuan rasmi menyatakan sebaliknya, berikutan hubungan rapat beliau dengan golongan elit negara itu.

Minggu lepas, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sekali lagi mengesahkan kematian Epstein adalah akibat bunuh diri dan tiada bukti yang mengaitkan individu berprofil tinggi lain atau kewujudan “senarai” pelanggan berpengaruh.

--BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan