Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 17 Julai (Bernama) -- Gandingan anak-beranak, Syafiq Yusof dan Datuk Yusof Haslam, dalam filem terbaharu “Blood Brothers: Bara Naga”, meletakkan harapan tinggi agar hasil karya itu mendapat sambutan meluas di beberapa negara Asia Tenggara.
Penerbit filem, Datuk Yusof Haslam berkata, Blood Brothers telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan di Malaysia, dan pihaknya kini merancang untuk menembusi pasaran filem serantau.
“Setiap filem yang diterbitkan bukan sekadar untuk menjadi jaguh kampung, tetapi harus melangkah ke pasaran antarabangsa, khususnya di rantau Asia Tenggara,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Yusof berkata, walaupun tiada sasaran khusus ditetapkan bagi tayangan filem itu di Thailand, beliau optimis genre aksi yang mengetengahkan pelbagai seni mempertahankan diri itu berpotensi meraih kejayaan membanggakan.
“Di Malaysia, Blood Brothers meraih sambutan yang amat baik, dengan kutipan mencecah hampir RM80 juta setakat ini, sekali gus mengatasi kutipan filem “Sheriff: Narko Integriti”.
Apa gunanya menghasilkan filem jika tidak mendapat sambutan di tanah air sendiri? Maka, selepas kejayaan di Malaysia, kami ingin memperluaskan tayangan ke negara-negara lain seperti Singapura, Brunei dan Thailand, serta akan ditayangkan di Kemboja, Vietnam dan Indonesia,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa perancangan untuk menghasilkan susulan Blood Brothers dijangka bermula tahun hadapan, namun buat masa ini fokus diberikan kepada penghasilan filem Sheriff 2 terlebih dahulu.
Pada Rabu, “Blood Brothers: Bara Naga”, arahan bersama Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, mula ditayangkan secara rasmi di Thailand.
Sementara itu, Syafiq Yusof berkata sudah tiba masanya karya filem tempatan dibawa ke luar negara, khususnya ke negara-negara serantau.
Beliau turut berharap agar filem itu terus mendapat sambutan baik daripada penonton antarabangsa.
“Tiada salahnya mencuba untuk membawa filem tempatan ke pasaran luar negara, meskipun kita belum tahu sama ada hasilnya akan berjaya atau tidak,” katanya.
Blood Brothers: Bara Naga dibarisi pelakon hebat seperti Syafiq Kyle, Sharnaaz Ahmad, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly dan Amelia Henderson.
Ia mengisahkan sekumpulan sahabat karib yang bekerja dalam sebuah organisasi keselamatan elit, menyediakan perlindungan kepada individu berpengaruh serta ketua-ketua penjenayah, namun persaudaraan mereka mula tergugat apabila berlaku pengkhianatan dalam kumpulan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial