DUNIA > BERITA

Warga Thailand Dapat Manfaat Tambang Kereta Api 20 Baht Bermula Oktober

21/07/2025 01:42 PM

BANGKOK, 21 Julai (Bernama) -- Kerajaan Thailand sedang dalam perancangan untuk melaksanakan tambang kereta api elektrik maksimum 20 Baht untuk warganegara Thai bermula 1 Okt.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan, Suriya Juangroongruangkit, berkata kerajaan sedang mempercepatkan penubuhan dana untuk mempromosikan sistem tiket bersepadu, dengan memanfaatkan hasil terkumpul Mass Rapid Transit Authority of Thailand (MRTA) bagi membayar balik operator untuk kekurangan hasil tambang.

Skim ini akan meliputi lapan laluan, merangkumi 13 jajaran di dalam Bangkok dan wilayah sekitarnya, meliputi jarak keseluruhan 276.84 kilometer dan memberi perkhidmatan kepada 194 stesen.

“Tambang tetap 20 Baht untuk perjalanan kereta api elektrik di seluruh laluan pasti akan dilaksanakan selewat-lewatnya 1 Okt,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa orang ramai akan mendapat manfaat besar daripada inisiatif itu.

Suriya juga mengesahkan bahawa menjelang Ogos 2025, warga Thai yang layak akan dapat mendaftar untuk skim tersebut melalui aplikasi mudah alih kerajaan “Tang Rat”.

Sementara itu, Suriya merakamkan penghargaan kepada Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, susulan pertemuan baru-baru ini yang bertujuan memperkukuh persefahaman dan kerjasama bersama.

Beliau juga telah menugaskan Bangkok Mass Transit Authority (BMTA) untuk melaksanakan sistem bas perantara. Bas ulang-alik jarak dekat akan digunakan di sepanjang laluan kereta api elektrik bagi meningkatkan kesalinghubungan dan kemudahan untuk penumpang.

Awal bulan ini, Kabinet Thailand meluluskan rancangan untuk mengehadkan semua tambang kereta api elektrik di Greater Bangkok kepada 20 baht bermula 1 Okt, dalam usaha mengurangkan kos perjalanan dan menggalakkan pemandu beralih kepada pengangkutan awam.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan