BEIJING, 21 Julai (Bernama-CMG) -- Sistem rantaian bekalan China merupakan antara yang terbaik di dunia, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NVIDIA Jensen Huang.
Huang yang juga pengasas syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat (AS) itu menyifatkan rantaian bekalan China sebagai satu keajaiban baik dari segi skala, kerumitan, kepelbagaian, jenis produk dihasilkan dan penerapan teknologi mahupun bilangan perusahaan yang terlibat.
"China juga menyediakan peralatan, sistem kawalan dan komponen untuk rantaian bekalan lain di seluruh dunia.
"Sambil mengendalikan rantaian bekalan sendiri, China telah membangunkan pelbagai teknologi dan produk bagi membantu negara lain mengukuhkan rantaian bekalan," kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Ekspo Rantaian Bekalan Antarabangsa China (CISCE) edisi ketiga di Beijing baru-baru ini.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, NVIDIA terus meningkatkan pelaburan dalam program penyelidikan dan pembangunan (R&D) di China.
Syarikat teknologi gergasi itu turut menubuhkan pusat inovasi kecerdasan buatan (AI) di Shanghai dan Beijing, di samping mengekalkan kerjasama mendalam dengan banyak syarikat China.
Menurut Huang, NVIDIA kini mempunyai hampir 4,000 kakitangan di China yang mencakupi bidang R&D, pemasaran, sokongan teknikal dan lain-lain.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial