DUNIA > BERITA

Peluang Lanjutkan Pengajian Di New Zealand Kini Lebih Luas Untuk Rakyat Malaysia

22/07/2025 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Lebih ramai rakyat Malaysia kini berpeluang melanjutkan pengajian peringkat pascasiswazah di New Zealand susulan peningkatan penawaran Biasiswa Manaaki New Zealand kepada rakyat Malaysia.

Suruhanjaya Tinggi New Zealand di Malaysia dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa peruntukan biasiswa untuk pelajar Malaysia dinaikkan daripada dua kepada 39 tempat setahun bagi tempoh tiga tahun akan datang, seperti yang diumumkan oleh Menteri Luar New Zealand Winston Peters semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini pada 10 Julai lalu.

Menurut kenyataan itu, penawaran biasiswa itu juga merupakan pencapaian strategik dalam hubungan dua hala ketika kedua-dua negara berusaha memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan dan perdagangan.

“Apabila New Zealand mempererat hubungan dengan Asia Tenggara, amat penting untuk kita memperkukuh lagi jalinan sedia ada yang berasaskan hubungan antara rakyat.

“Program Biasiswa Manaaki adalah antara komponen utama dalam usaha ini,” kata Peters seperti dipetik dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia Michael Walsh berkata biasiswa baharu itu merangkumi yuran pengajian, kos perjalanan, elaun sara hidup, serta bantuan kebajikan pelajar.

“Biasiswa ini akan menyokong generasi baharu, individu berpotensi tinggi untuk membangunkan kemahiran dan keupayaan dalam pelbagai sektor keutamaan Malaysia,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa lebih 1,300 pelajar telah mendapat manfaat sejak permulaan Rancangan Colombo pada 1951.

Program Biasiswa Manaaki New Zealand menyokong pelajar pascasiswazah dari Malaysia dan negara lain untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang termasuk perubahan iklim dan daya tahan ekonomi, tadbir urus dan pendidikan.

Pemohon yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut termasuk tarikh permohonan di laman rasmi: https://www.nzscholarships.govt.nz/category/

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan