DUNIA > BERITA

OIC Kecam Keras Undian Knesset Israel Untuk Kuat Kuasa Kedaulatan Ke Atas Tebing Barat

24/07/2025 05:25 PM

RAMALLAH, 24 Julai (Bernama-WAFA) -- Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam sekeras-kerasnya undian terbaharu oleh Knesset Israel yang menyokong penguatkuasaan apa yang disebut sebagai kedaulatan Israel ke atas wilayah Tebing Barat yang diduduki, sambil menyifatkannya sebagai satu tindakan provokatif berbahaya yang bertujuan mengukuhkan penjajahan haram dan menggagalkan penyelesaian dua negara.

Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), OIC dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Khamis menegaskan bahawa Israel sebagai kuasa penjajah tidak mempunyai sebarang kedaulatan ke atas wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.

OIC turut menekankan bahawa pendudukan Israel dan pembinaan penempatan haram adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa, termasuk resolusi berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Pertubuhan itu sekali lagi menggesa masyarakat antarabangsa supaya melaksanakan tanggungjawab mereka dan mengambil langkah politik serta undang-undang yang sewajarnya untuk menyokong hak rakyat Palestin yang tidak boleh dinafikan, termasuk pengiktirafan Negara Palestin, keahlian penuh PBB dan usaha menamatkan penjajahan haram.

-- BERNAMA-WAFA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan