DUNIA > BERITA

Gencatan Senjata Diusahakan Putrajaya Serlahkan Pengaruh Diplomatik ASEAN Yang Semakin Meningkat – Anwar

29/07/2025 06:32 PM

JAKARTA, 29 Julai (Bernama) -- Persetujuan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara Thailand dan Kemboja pada Isnin mencerminkan bukan sahaja kekuatan ASEAN untuk memanggil suatu mesyuarat, tetapi juga keterlibatan konstruktif rakan-rakan anggotanya dalam memelihara kestabilan serantau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapan dasar mengenai ASEAN yang disampaikan di Sekretariat ASEAN di sini pada Selasa, Anwar yang juga pengerusi semasa blok serantau itu berkata episod berkenaan menjadi pengesahan penting terhadap nilai-nilai yang telah lama membawa kemakmuran kepada rantau ini.

“Dengan terus menjunjung Piagam ASEAN dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC), kita boleh mengukuhkan hasil keamanan, sekali gus memastikan ASEAN kekal sebagai sebuah komuniti yang berpaksikan kepercayaan, kerjasama dan kemakmuran bersama untuk generasi akan datang,” katanya.

Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn turut hadir pada majlis berkenaan.

Pada Isnin, Anwar berjaya menjadi orang tengah dalam mencapai gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara Thailand dan Kemboja menerusi mesyuarat khas di Putrajaya, yang mendapat pujian antarabangsa dan menjadikan Malaysia tumpuan sejagat. 

Amerika Syarikat merupakan penganjur bersama mesyuarat itu, manakala China hadir sebagai pemerhati dengan hasrat menyokong penyelesaian aman terhadap ketegangan yang berlaku.

Menurut Anwar, episod berkenaan mengingatkan ASEAN bahawa sifat sabar, saling mempercayai dan diplomasi berterusan yang telah memastikan keamanan rantau ini, adalah nilai yang sama memberi erti kepada kedudukan kepusatan dan perpaduan ASEAN pada masa kini.

“Saya secara konsisten menegaskan bahawa kepusatan, perpaduan dan autonomi ASEAN perlu kekal menjadi kompas dalam perjalanan kolektif kita ke hadapan.

“Namun, kita harus sedar bahawa etos ini bukan suatu hak , sebaliknya satu keistimewaan yang kita perlu bekerja keras mempertahankannya dalam peralihan dinamik serantau dan global.  Dalam dunia yang berpecah-pecah, kepusatan  dan perpaduan ASEAN lebih bermakna daripada sebelumnya,” katanya.

Perdana Menteri turut memuji Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai atas kepimpinan mereka, serta Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan kepimpinan China atas keterlibatan konstruktif masing-masing.

Menurutnya, kehadiran dan kerjasama semua pihak mengesahkan bahawa keamanan hanya dapat dicapai menerusi dialog, saling menghormati dan komitmen bersama terhadap kestabilan.

Anwar kini berada di Indonesia bagi lawatan kerja dua hari sempena Rundingan Tahunan ke-13 Malaysia-Indonesia dari 28 Julai.

Beliau tiba di Jakarta pada Isnin diiringi beberapa pegawai kanan termasuk Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan