DUNIA > BERITA

Kepimpinan PM Anwar Perkukuh Peranan Malaysia Sebagai Pemudah Cara Perdamaian Serantau

30/07/2025 06:16 PM

Oleh Suraidah Roslan & Ahmad Idzwan Arzmi

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin menyerlah sebagai pemudah cara utama dalam menangani pertikaian serantau Asia Tenggara, termasuk peranan terkininya dalam mengantara perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja pada Isnin.

Sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini, inisiatif Anwar menganjurkan rundingan tergempar antara Thailand dan Kemboja mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap keamanan dan kestabilan serantau, selain menegaskan prinsip asas ASEAN iaitu penyelesaian pertikaian melalui dialog dan konsensus.

Penganalisis Dasar Luar dan Hal Ehwal Serantau Peter Nicoll berkata penglibatan peribadi Anwar memberi isyarat jelas bahawa Malaysia bersedia menjadi penyelesai masalah yang proaktif di rantau ini.

Beliau merujuk kepada usaha terdahulu Malaysia dalam memudah cara proses damai di selatan Thailand dan Mindanao, di selatan Filipina, sebagai bukti sumbangan konsisten negara dalam diplomasi serantau.

“Usaha ini memberikan Malaysia rekod pencapaian dalam penglibatan konstruktif. Dengan kembali memainkan peranan ini, Anwar menghidupkan semula legasi itu dan menunjukkan bahawa Malaysia boleh sekali lagi menjadi pilihan utama sebagai pemudah cara dalam pertikaian di Asia Tenggara.

“Ia turut mengukuhkan imej Malaysia sebagai pembina jambatan - sebuah negara yang walaupun tidak mendominasi rantau ini, menyumbang secara signifikan kepada kestabilan dan pembinaan kepercayaan serantau,” katanya dalam wawancara bersama Bernama TV bertajuk Langkah Diplomatik Malaysia dan Geopolitik ASEAN, di sini, pada Selasa.

Dengan mengambil inisiatif dan menjadi tuan rumah rundingan gencatan senjata bagi menangani pertikaian sempadan Kemboja–Thailand, Nicoll berkata Malaysia mempraktikkan prinsip berdikari  dalam  ASEAN, sekali gus mengukuhkan keyakinan bahawa negara anggota mampu menyelesaikan pertikaian tanpa campur tangan pihak luar.

Susulan kejayaan rundingan itu, katanya, Malaysia kini menyelaras pasukan pemerhati ASEAN untuk memantau dan mengesahkan pelaksanaan gencatan senjata, selain rundingan lanjut bersama negara anggota bagi meluaskan sokongan serantau.

“Langkah ini juga membawa implikasi politik domestik kepada Malaysia. Ia memberi kelebihan kepada Perdana Menteri, yang kini berpeluang meletakkan dirinya bukan sekadar sebagai reformis dan teknokrat, malah sebagai negarawan yang aktif membentuk diplomasi ASEAN. Ia selari dengan naratif dasar luar beliau,” kata Nicoll yang juga Rakan Pengurusan di Counter Risk Consultancy Malaysia Sdn Bhd.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan RIGHTS Mohd Yusmadi Mohd Yusoff berkongsi pandangan yang sama dengan menyatakan bahawa kejayaan Anwar sebagai pengantara antara Thailand dan Kemboja berpunca daripada komitmennya terhadap diplomasi berteraskan nilai selaku Pengerusi ASEAN, yang mengutamakan persefahaman bersama berbanding keputusan yang telah ditetapkan.

“Anwar memainkan peranan sebagai pengantara tanpa cuba meramalkan hasilnya. Sebaliknya, beliau menekankan gambaran yang lebih besar - bahawa rantau ini mesti menjadi wilayah yang aman,” katanya.

Mohd Yusmadi menambah bahawa gencatan senjata yang aman antara kedua-dua negara juga selari dengan visi MADANI, yang mana prinsip perikemanusiaan dibawa ke meja rundingan, melangkaui sifat rundingan diplomatik yang bersifat transaksi semata-mata.

Beliau turut menegaskan bahawa Anwar menghantar mesej jelas bahawa sudah tiba masanya pendekatan diplomasi difikirkan semula, bukan sekadar sebagai proses membuat perjanjian atau pertukaran kepentingan, tetapi sebagai peluang memupuk nilai bersama dan keamanan yang berkekalan.

Pada Isnin, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di kawasan sempadan yang dipertikaikan, susulan mesyuarat khas yang berlangsung di Putrajaya.

Mesyuarat itu dicetuskan oleh Malaysia dan dianjurkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN, bertujuan menamatkan konflik ketenteraan yang tercetus di sempadan Kemboja-Thailand sejak 24 Julai.

Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu telah lama berselisih mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan. Ketegangan tercetus sejak 28 Mei susulan insiden pertempuran berhampiran kawasan Preah Vihear yang dipertikaikan sehingga mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Ketegangan terbaharu bermula pada 24 Julai, dengan pertempuran bersenjata dilaporkan di kawasan sempadan utara Kemboja yang menyebabkan korban di kedua-dua pihak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan