JAKARTA, 31 Julai (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn menegaskan komitmen berterusan blok serantau itu untuk memperkukuh peranannya dalam Majlis Tadbir Urus Pusat Tenaga ASEAN (ACE) serta memastikan penyelarasan pusat itu dengan keutamaan strategik serantau.
Beliau berkata demikian semasa pertemuan bersama Pengarah Eksekutif ACE, Datuk Abdul Razib Dawood di ibu pejabat ASEAN di Jakarta pada Rabu (30 Julai), bertujuan memperkukuh penyelarasan antara kedua-dua institusi.
“Kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai sumbangan ACE dalam memajukan kerjasama tenaga serantau ASEAN, termasuk sokongan teknikalnya terhadap pembangunan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC),” menurut kenyataan Sekretariat ASEAN.
Perbincangan itu turut menekankan peranan ACE dalam menyokong matlamat tenaga serantau di bawah Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2026–2030 yang akan datang.
Berpusat di Jakarta Selatan, ACE berfungsi sebagai sebuah organisasi antara kerajaan yang menyokong sepuluh negara anggota ASEAN dalam menyelaras dan melaksanakan dasar serta program tenaga serantau.
Ditubuhkan pada 1999, pusat itu menjalankan penyelidikan, pembangunan kapasiti dan dialog dasar bagi mempromosikan keselamatan, kebolehcapaian dan kemampanan tenaga di seluruh rantau ini.
Operasi ACE diselia oleh Majlis Tadbir yang dianggotai pegawai kanan mengenai tenaga dari setiap negara anggota ASEAN, dengan Sekretariat ASEAN berperanan sebagai ahli ex officio.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial