DUNIA > BERITA

ASEAN Digesa Jadikan Gencatan Senjata Rapuh Sebagai Langkah ke Arah Keamanan Mampan - The Jakarta Post

01/08/2025 06:29 PM

JAKARTA, 1 Ogos (Bernama) -- Gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja yang dimeterai hasil rundingan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas hampir seminggu pertempuran bersenjata di sempadan kedua-dua negara, merupakan perkembangan yang dialu-alukan bagi rantau yang sedang berusaha mengekalkan kestabilan, menurut The Jakarta Post.

Dalam ruangan editorial bertajuk ‘ASEAN Diplomacy Delivers’ yang diterbitkan pada Khamis (31 Julai), akhbar harian Indonesia itu memuji tindakan pantas Anwar selaku Pengerusi ASEAN, berjaya mencapai persetujuan damai di Putrajaya pada Isnin lalu, sambil mengiktiraf hubungan jangka panjang beliau dengan pemimpin Kemboja dan Thailand sebagai faktor penting mengelakkan krisis serantau yang lebih besar.

“Fakta bahawa insiden tembakan telah reda bukanlah pencapaian kecil. Menurut kata-kata Anwar sendiri, ia adalah ‘kejayaan untuk seluruh ASEAN’,” tulis akhbar itu.

Menurut lembaga editorialnya, konflik itu menyebabkan ratusan ribu penduduk dipindahkan, puluhan terkorban dan keyakinan antara jiran terjejas. 

Namun, kejayaan rundingan itu bukan melalui mekanisme rasmi ASEAN, sebaliknya melalui hubungan peribadi Anwar dengan pemimpin Kemboja dan Thailand.

“Tiada satu pun rangka kerja penyelesaian konflik ASEAN digunakan… Sebaliknya, hubungan jangka panjang Anwar — termasuk dengan Hun Sen di Kemboja dan kumpulan Thaksin Shinawatra di Thailand — membuat pembeza utama,” menurut editorial itu.

Walaupun diplomasi peribadi membuahkan hasil kali ini, editorial menekankan keterbatasan keupayaan institusi ASEAN, dengan menyatakan bahawa hal ini bukan kegagalan ASEAN, tetapi peluang untuk menilai kembali had instrumen semasa.

Akhbar itu menggesa ASEAN sebagai satu komuniti untuk mengurangkan kebergantungan kepada jaringan elit, sebaliknya memperkukuh mekanisme penyelesaian pertikaian secara rasmi, kerana krisis yang akan datang mungkin tidak memberi masa atau ruang seperti sekarang.

Bagi Indonesia, kerapuhan konflik menjadi satu peringatan bahawa walaupun pertempuran berlaku di luar sempadannya, kredibiliti ASEAN bergantung kepada keamanan dalam kalangan negara anggotanya.

“Apabila jiran berperang, walaupun seketika, daya tarikan ASEAN kepada pelabur dan peranannya di rantau Indo-Pasifik turut terjejas,” tulis editorial itu.

Lembaga editorial juga menyatakan bahawa laporan mengenai tuduhan baharu hanya 24 jam selepas gencatan senjata menyerlahkan realiti tentera sering bertindak mengikut logik sendiri, dan beban untuk mengekalkan keamanan tidak boleh diletakkan di bahu pasukan tentera semata-mata.

“Apa yang diperlukan ialah komitmen politik yang berpanjangan, disokong oleh institusi awam yang dipercayai, bagi menjadikan keamanan bukan sekadar mungkin, tetapi berkekalan. 

"Rapuhnya gencatan senjata ini mencerminkan satu corak global yang lebih luas,” tegas akhbar itu.

Editorial mengaitkan gencatan senjata ini dengan satu corak global yang digambarkan oleh seorang penganalisis dalam ulasan terkini di The Diplomat sebagai “era gencatan senjata” — ketika diplomasi hanya berjaya menangguhkan konflik, bukan menyelesaikannya.

“Perang di Ukraine, keganasan yang tidak terbayang di Gaza, dan kini pertempuran di halaman belakang kita sendiri — semuanya mengikuti corak ini,” tulis The Jakarta Post.

Memetik laporan Financial Times mengenai konflik antara jiran itu, editorial  menyifatkannya sebagai satu kegagalan struktur yang dicirikan oleh ketiadaan norma penguatkuasaan dan forum yang berkesan, walaupun terdapat rangka kerja sedia ada.

“Jika kita di ASEAN menerima corak ini sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan, maka kita hanya akan mencapai penyelesaian paling minimum ketika krisis. 

"Kita akan berpuas hati dengan jeda yang rapuh dan bukannya membina keamanan yang berkekalan,” menurut akhbar itu. 

Catatan Editorial The Jakarta Post diakhiri dengan satu seruan tindakan, agar gencatan senjata ini tidak dilihat sebagai penamat, sebaliknya sebagai peluang untuk memperbaharui komitmen terhadap satu aturan serantau yang berteraskan prinsip, bukan keperibadian.

“Hanya dengan itu, ASEAN benar-benar dapat mendakwa sebagai sebuah komuniti — bukan sekadar komuniti kerajaan, tetapi komuniti rakyat,” menurut lembaga editorialnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan