Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 2 Ogos (Bernama) -- Indonesia sedang mempergiat usaha memadam kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Barat, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).
Ketua BNPB Leftenan Jeneral Suharyanto berkata data satelit mengesan kewujudan titik panas yang berterusan di wilayah itu yang bersempadan dengan Malaysia.
Dengan risiko pencemaran rentas sempadan yang semakin meningkat, beliau berkata usaha menangani kebakaran itu menjadi keutamaan negara.
“Kebakaran hutan dan tanah merupakan isu strategik dan menjadi kebimbangan Presiden (Prabowo Subianto). Ini mesti menjadi keutamaan bersama,” kata Suharyanto menurut kenyataan BNPB.
Pada Jumaat, Suharyanto bersama Menteri Alam Sekitar Hanif Faisol Nurofiq dan Gabenor Kalimantan Barat Ria Norsan meninjau kawasan terjejas dengan menaiki helikopter sebelum menghadiri mesyuarat penyelarasan di Pontianak.
Sehingga 31 Mei 2025, kira-kira 1,149 hektar telah terjejas, dengan Kabupaten Ketapang menjadi kawasan paling teruk dilanda kebakaran, menurut data peringkat wilayah.
BNPB memberi jaminan akan terus memberikan sokongan, termasuk peralatan memadam kebakaran, pembenihan awan dan pengerahan pesawat Cessna Caravan serta helikopter bagi pengeboman air.
BNPB turut melaporkan kebakaran di Kabupaten Pasaman, Sumatera Barat yang menjejaskan lebih 200 hektar, terutamanya di Nagari Lubuak Layang, daerah Rao Selatan.
Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Pasaman memaklumkan bahawa terdapat garisan api sepanjang 15 kilometer dan operasi pemadaman sedang giat dijalankan dengan bantuan agensi berkaitan.
Hanif Faisol menggesa tindakan undang-undang yang tegas diambil terhadap pihak bertanggungjawab, sambil menyeru tentera dan polis agar tidak teragak-agak menguatkuasakan undang-undang serta memastikan aktiviti pembakaran untuk pembukaan tanah tidak berterusan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial