JAKARTA, 4 Ogos (Bernama) -- Di tengah-tengah pengeboman berterusan dan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, sebuah klinik medan di Khan Younis menjadi talian hayat penting dengan merawat kira-kira 1,200 pesakit setiap hari, menurut Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C).
Klinik Al Aqsa B yang terletak di Al Mawasi merupakan antara beberapa kemudahan perubatan yang masih beroperasi, menyediakan pelbagai perkhidmatan kepakaran kepada lebih 400,000 pelarian yang terkesan akibat serangan tentera dan sekatan Israel.
Klinik itu menawarkan pelbagai perkhidmatan pakar, termasuk perubatan keluarga, perubatan dalaman, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, pembedahan, pemulihan, ortopedik, neurologi, pemakanan dan sokongan psikososial.
“Walaupun dengan sumber yang terhad, pasukan perubatan terus berkhidmat di barisan hadapan bantuan kemanusiaan di selatan Gaza,” menurut kumpulan kemanusiaan Indonesia itu dalam satu kenyataan.
Sokongan MER-C bermula pada 1 Dis 2024 dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Palestin dan sejak itu klinik berkenaan telah meningkatkan kapasiti serta merawat lebih 105,890 pesakit.
“Dalam enam bulan pertamanya dari Disember 2024 hingga Mei 2025, klinik ini beroperasi dengan 38 kakitangan perubatan dan sokongan, sebelum meningkat kepada 50 orang pada Jun 2025 sebagai respons kepada permintaan yang semakin meningkat,” menurut MER-C.
Kumpulan itu juga menyediakan insentif penuh kepada semua kakitangan serta membekalkan peralatan kawalan jangkitan, bahan pejabat dan waktu rehat untuk menyokong moral dan kebajikan kepada petugas kesihatan dalam keadaan mencabar.
MER-C komited untuk meneruskan sokongan kepada klinik itu bagi meningkatkan kapasitinya dan menambah baik perkhidmatan kesihatan untuk rakyat Gaza yang terjejas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial