DUNIA > BERITA

Brazil Akan Cabar Tarif Amerika Syarikat Di WTO, Timbang Pakej bantuan

05/08/2025 02:44 PM

BRASILIA, 5 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Brazil sedang bersiap sedia untuk mencabar secara rasmi tarif yang baru dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di samping kekal terbuka untuk rundingan, kata pegawai pada Isnin, lapor Xinhua.

Langkah itu dibuat susulan pengumuman Presiden AS Donald Trump mengenai tarif sebanyak 50 peratus terhadap beberapa eksport Brazil, termasuk kopi, daging lembu dan petrokimia, yang akan berkuat kuasa mulai Rabu.

Langkah itu memberi kesan kepada kira-kira 35 peratus eksport Brazil ke AS, walaupun beberapa produk utama seperti produk tenaga dan mineral tertentu dikecualikan.

Dewan Perdagangan Luar Brazil pada Isnin meluluskan cadangan untuk memulakan rundingan rasmi dengan WTO, langkah pertama dalam proses penyelesaian pertikaian dengan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva akan menentukan "bagaimana dan bila" aduan itu akan dikemukakan kepada badan perdagangan itu.

Naib Presiden Geraldo Alckmin berkata Brazil sedang berusaha mengurangkan kesan tarif baharu itu dan telah mengadakan pertemuan dengan wakil perniagaan tani untuk menyelaras strategi. Kerajaan juga akan meneruskan perbincangan dengan sektor yang terjejas.

Menteri Kewangan Fernando Haddad berkata Brazil kekal terbuka untuk berdialog tetapi tidak akan menerima perkongsian yang tidak saksama.

“Kami tidak akan berurusan dengan AS sebagai koloni atau satelit – kami adalah negara berdaulat,” katanya dalam wawancara bersama BandNews.

Beliau menyifatkan kenaikan tarif itu sebagai “melampau” dan “tidak munasabah,” namun menegaskan masih ada ruang untuk membina agenda dua hala yang positif, khususnya dalam bidang seperti mineral kritikal, teknologi dan infrastruktur data.

Bagi mengimbangi kesan ekonomi akibat tarif itu, Haddad berkata kerajaan akan mengumumkan pakej bantuan untuk perniagaan domestik, termasuk sokongan kredit. Beliau mengakui potensi kesan fiskal, namun menyatakan ia akan diuruskan mengikut peraturan belanjawan sedia ada.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan