BANGKOK, 5 Ogos (Bernama) -- Kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perantara dalam gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand yang menghentikan pertempuran bersenjata serta-merta berhubung pertikaian sempadan kedua-dua negara, merupakan satu kemenangan besar dari segi diplomasi.
Langkah tegas dan berani oleh Perdana Menteri Malaysia itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan beliau sebagai pemimpin politik dan Pengerusi ASEAN yang berkesan, malah turut mengangkat profil blok serantau itu di pentas antarabangsa.
Wartawan veteran Thailand merangkap penganalisis hal ehwal serantau, Kavi Chongkittavorn, berkata apabila ketegangan antara kedua-dua negara memuncak kepada berbalas tembakan meriam bulan lepas, Anwar pantas bertindak menerusi kapasiti beliau sebagai Pengerusi ASEAN dan tampil sebagai negarawan serantau.
Dalam artikelnya bertajuk "Four Wins For ASEAN Chair Anwar" yang disiarkan di Thai PBS World, Kavi berkata Perdana Menteri Malaysia itu mencatat empat kejayaan utama hasil langkah tegas beliau membantu meredakan ketegangan yang kian memuncak antara Thailand dan Kemboja.
Menurutnya, kejayaan pertama ialah kemampuan Anwar memanfaatkan kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN untuk bertindak sebagai pengantara, sekali gus menonjolkan peranan beliau sebagai pendamai Asia Tenggara.
Kejayaan kedua pula ialah keupayaan Anwar mengubah krisis berkenaan menjadi peluang untuk mengangkat semula peranan utama dan kerelevanan ASEAN.
“Kuasa-kuasa besar sering memperlekeh ASEAN sebagai forum yang banyak bercakap tetapi kurang bertindak. Perjanjian gencatan senjata – yang masih bertahan – telah mengubah naratif itu.
Anwar menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi bukan sekadar untuk menganjurkan mesyuarat, malah beliau aktif memudah cara keseluruhan proses. Mesejnya jelas: ASEAN sedang membuat anjakan. Yang diperlukan hanyalah kepimpinan yang tegas,” kata Kavi.
Menurut Kavi kejayaan ketiga Anwar adalah apabila beliau bukan sahaja memecahkan kebuntuan konflik bersenjata Thailand-Kemboja, tetapi berjaya mempertemukan secara langsung Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet di Kuala Lumpur untuk dialog bersemuka yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Sebagai perbandingan, dalam konfrontasi sebelum ini antara 2008 hingga 2011, Thailand menolak sepenuhnya pengantaraan oleh ASEAN.
Kejayaan keempat pula melibatkan keupayaan mengimbangi dua kuasa besar paling penting bagi ASEAN – Amerika Syarikat dan China – serta memastikan kedua-duanya terlibat secara langsung menyaksikan rundingan gencatan senjata.
“Dua kuasa besar ini jarang sekali bekerjasama dalam apa jua hal ketika ini. Namun kedua-duanya menghantar wakil untuk menyokong inisiatif Pengerusi ASEAN.
Kedua-dua kuasa hadir, namun tiada yang mendominasi – itulah yang diinginkan ASEAN,” katanya.
Tindakan Anwar mengimbangi kuasa besar itu amat mengagumkan memandangkan beliau baru-baru ini lantang mengkritik Washington, terutamanya dalam isu Gaza – malah lebih vokal daripada Indonesia – termasuk mengecam dasar Israel dan Amerika Syarikat.
Kavi berkata, kejayaan luar biasa ini membuktikan apa yang mampu dicapai ASEAN sekiranya dipimpin oleh tokoh yang aktif dan berwibawa.
“Anwar merupakan tokoh lama dan pintar dalam arena ASEAN serta amat memahami kedinamikan serantau dan perubahan geopolitik global yang membuka ruang strategik. Beliau tidak teragak-agak merebut peluang itu,” katanya.
Bagi ASEAN, Kavi berkata krisis ini membuktikan bahawa tindakan lebih bermakna daripada kata-kata, dan lebih berkesan daripada kenyataan tahunan bersama.
“Bagi Anwar, ini bukti bahawa kemahiran diplomasi mampu mengubah nasib politik. Bagi rantau ini, ia memberi harapan bahawa penyelesaian yang dipimpin ASEAN masih boleh berfungsi dalam dunia di bawah Trump,” katanya.
Artikel penuh Kavi boleh dibaca di Thai PBS World – “Four Wins for ASEAN Chair Anwar”.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial