DUNIA > BERITA

Tentera Thai Benarkan ICRC Bertemu Tawanan Perang Kemboja

05/08/2025 02:57 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 5 Ogos (Bernama) -- Tentera Diraja Thailand (RTA) membenarkan pegawai Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) melawat dan menilai keadaan 18 tawanan perang yang ditahan susulan pertempuran sempadan antara Thailand dan Kemboja baru-baru ini.

Menurut RTA, kesemua 18 tawanan perang itu kini ditahan di sebuah pusat tahanan di bawah bidang kuasa Wilayah Tentera Kedua.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, RTA menjelaskan bahawa akses diberikan kepada pegawai ICRC dari Pejabat Serantau Bangkok, selaras dengan protokol antarabangsa dan menegaskan pematuhan ketat terhadap prinsip-prinsip kemanusiaan antarabangsa.

“ICRC merupakan sebuah organisasi kemanusiaan yang khusus dalam perlindungan dan kebajikan tawanan perang, beroperasi mengikut piawaian antarabangsa dengan mengamalkan prinsip berkecuali dan mendapat pengiktirafan global,” menurut kenyataan itu.

RTA bertindak memudahkan lawatan itu dengan kerjasama Kementerian Luar Thailand.

Tujuan utama lawatan itu adalah untuk menilai kehidupan para tawanan serta menyediakan saluran komunikasi antara mereka dan keluarga masing-masing.

“Langkah ini juga mencerminkan penghormatan tinggi Thailand terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, khususnya tanggungjawab di bawah Konvensyen Geneva 1949, dan Thailand merupakan Negara Pihak,” menurut kenyataan itu.

RTA turut mengesahkan bahawa kesemua 18 tawanan berada dalam keadaan sihat dan tiada yang mengalami kecederaan.

“Mereka diberi penjagaan sewajarnya, menerima tiga hidangan sehari, ditempatkan di penginapan yang selamat dan bersih, serta dipantau rapi oleh doktor tentera tempatan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini dilaporkan bahawa 20 anggota tentera Kemboja ditahan oleh tentera Thailand selepas pertempuran di sempadan. Pada 1 Ogos, Thailand telah membebaskan dua tentera Kemboja yang cedera.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan