DUNIA > BERITA

Ratusan Ribu Penduduk Terjejas Akibat Kemarau Teruk Di Somalia - PBB

07/08/2025 04:28 PM

NEW YORK, 7 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Kemarau teruk yang melanda tengah dan utara Somalia telah menjejaskan ratusan ribu penduduk, menurut jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu, lapor Xinhua.

Menurut Timbalan Jurucakap PBB Farhan Haq, lebih 880,000 orang tinggal di kawasan yang terjejas teruk merangkumi 16 daerah, berdasarkan analisis oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO).

Beliau berkata satu penilaian bersama oleh agensi dan rakan kongsi PBB sedang dijalankan di Puntland dan Somaliland untuk mengenal pasti keperluan utama, sambil menambah bahawa laporan awal menunjukkan ketakjaminan makanan yang semakin meruncing, akses kepada air dan padang ragut yang berkurangan, serta gangguan besar terhadap mata pencarian.

Petugas kemanusiaan PBB mendapati perigi telah kering dan lebih 160 telaga tiub tidak lagi berfungsi. Penternak berhijrah dengan ternakan mereka ke kawasan lain untuk mencari sumber air dan padang ragut.

Dana Kemanusiaan Somalia yang diuruskan oleh PBB sedang bersedia untuk memperuntukkan dana bagi memenuhi keperluan mendesak untuk menyelamatkan nyawa, kata Haq.

"Rakan kongsi kami merancang untuk meningkatkan bantuan, tetapi berdepan kekangan akibat pemotongan dana baru-baru ini oleh penderma utama.

"Pelan Keperluan dan Tindak Balas Kemanusiaan Somalia berjumlah US$1.4 bilion setakat ini hanya menerima 17 peratus pembiayaan, bersamaan hampir US$242 juta," kata jurucakap itu.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan