KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam usaha damai antara Thailand dan Kemboja mendapat pujian dari Amerika Syarikat (AS), susulan Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) yang diadakan di sini pada Khamis.
Duta AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan berkata kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar serta Angkatan Tentera Malaysia telah memainkan peranan penting dalam menghimpunkan kedua-dua pihak bertelagah.
“Apa yang kita saksikan hari ini merupakan satu langkah penting, iaitu wakil kanan dari kedua-dua negara telah bertemu dan memperbaharui komitmen terhadap perjanjian gencatan senjata.
Malaysia telah menunjukkan kepimpinan cemerlang sebagai Pengerusi ASEAN dalam membawa Thailand dan Kemboja ke meja rundingan,” katanya kepada media selepas mesyuarat yang berlangsung di Kementerian Pertahanan.
Mesyuarat itu menghimpunkan pegawai kanan pertahanan kedua-dua negara bagi mengesahkan semula perjanjian gencatan senjata yang dicapai di Putrajaya pada 28 Julai lepas.
Kagan, yang hadir sebagai pemerhati, berkata AS menyokong penuh peranan Malaysia dalam ASEAN dan bekerjasama rapat dengan negara ini untuk membangunkan mekanisme jangka panjang bagi memastikan gencatan senjata dikekalkan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Presiden AS Donald Trump dan Setiausaha Negara Marco Rubio juga terlibat secara aktif dalam usaha menyokong gencatan senjata dan kestabilan serantau yang lebih meluas.
“Presiden Trump terlibat secara aktif dalam hal ini dan beliau menganggapnya sebagai keutamaan tertinggi. Beliau percaya sebarang bentuk peperangan atau konflik, termasuk di Asia Tenggara, tidak memberi faedah kepada semua pihak,” katanya.
Sambil mengalu-alukan perkembangan itu, Kagan turut menegaskan bahawa ini hanyalah permulaan dan lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk memastikan gencatan senjata yang mampan dan boleh dikuatkuasakan.
Beliau berkata AS akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan menyokong usaha ASEAN untuk mengekalkan keamanan di rantau ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand Jeneral Nattaphon Narkphanit.
Turut hadir sebagai pemerhati ialah Menteri Dalam Negeri Malaysia Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial