Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 8 Ogos (Bernama) – Kementerian Pertahanan Kemboja hari ini memberi jaminan kepada Malaysia bahawa mereka komited melaksanakan gencatan senjata di sempadan bagi mengekalkan keamanan di rantau ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Jeneral Tea Seiha turut mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana memulakan usaha penyelesaian secara aman terhadap situasi tegang di sepanjang sempadan bersama antara Kemboja dan Thailand.
Malaysia memainkan peranan penting dalam mencapai perjanjian gencatan senjata pada 28 Julai, selepas ketegangan antara kedua-dua angkatan tentera memuncak sehingga tercetus pertempuran bersenjata pada pagi 24 Julai.
“Penglibatan secara konstruktif ini telah banyak menyumbang kepada pengurangan ketegangan, mengelakkan kehilangan lebih banyak nyawa dan kecederaan, terutamanya kerana ia meletakkan asas kepada keamanan dan kestabilan berkekalan di rantau kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam surat yang dialamatkan kepada Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 8 Ogos.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa kementeriannya kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia dan semua pihak berkepentingan bagi melanjutkan proses damai dalam semangat perpaduan dan solidariti ASEAN.
Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Kemboja–Thailand berlangsung dengan jayanya di Kuala Lumpur pada 7 Ogos.
Sejak konflik sempadan tercetus, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN telah menawarkan sokongan diplomatik untuk meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang menjadi pertikaian sepanjang 817 kilometer di bahagian utara Kemboja.
Kemboja dan Thailand bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 28 Julai, sekali gus menamatkan kekacauan selama lima hari itu.
GBC merupakan hasil daripada perjanjian gencatan senjata itu, yang mana kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan rundingan diplomatik yang lebih mendalam bagi menghentikan pertikaian daripada terus memuncak sehingga boleh menggugat keselamatan serantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial