DUNIA > BERITA

TPM Ahmad Zahid Tiba Di Singapura Sempena Perbarisan Hari Kebangsaan Singapura 2025

09/08/2025 03:17 PM

SINGAPURA, 9 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Singapura pada Sabtu untuk lawatan kerja dua hari dan bagi mewakili kerajaan Malaysia sempena Perbarisan Hari Kebangsaan Singapura 2025 petang ini.

Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan serta Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon.

“Lawatan ini amat signifikan kerana tahun ini menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Singapura. 

“Insya-Allah, saya percaya kunjungan ini akan terus mengukuhkan hubungan persahabatan yang telah lama terjalin, serta membuka lebih banyak pintu kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” menurut Ahmad Zahid menerusi perkongsian di laman Facebook.

Semasa lawatan, beliau dijangka melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, serta mengadakan mesyuarat dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perbincangan akan memberi tumpuan kepada kerjasama dua hala dan perkara-perkara berkepentingan bersama bagi mengukuhkan hubungan sedia ada.

Pada 2024, Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di peringkat global dan terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah kira-kira RM396.22 bilion (US$86.69 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, jumlah perdagangan dua hala meningkat 12.2 peratus kepada RM97.93 bilion (US$22.00 bilion).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan