IPOH, 9 Ogos (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta merampas susu getah sebanyak 35,400 kilogram (kg) serta pelbagai jenis jentera dan peralatan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM789,132.04 dalam serbuan di sebuah premis di Taiping, semalam.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta SAC Shahrum Hashim berkata lima lelaki termasuk seorang warga Pakistan berumur 32 hingga 59 tahun turut ditahan dalam operasi penguatkuasaan OP INTRA itu.
Beliau berkata operasi yang dijalankan pada 2.30 pagi hingga 6 petang itu dilaksanakan Cawangan Risik Briged Utara, PGA dibantu oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM), Majlis Perbandaran Taiping dan Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping.
“Pasukan operasi telah menghidu kegiatan penyelewengan susu getah sejak dua bulan lepas. Pasukan operasi telah mengekori sebuah lori tangki yang membawa muatan susu getah dari Kedah ke satu premis di Taiping.
“Di premis terbabit, proses pemindahan susu getah telah dilakukan suspek dengan cara menggunakan hos paip masuk ke tangki IBC yang berkapasiti 1,000 kg,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrum berkata hasil pemeriksaan mendapati suspek, iaitu pemandu lori tangki berkenaan, telah menjual susu getah sebanyak 900 kg.
“Suspek juga menggunakan muslihat licik dengan menggantikan berat susu getah yang telah dijual dengan meletakkan beberapa unit besi pemberat di badan lori tangki.
“Perbuatan itu bertujuan supaya pihak pelanggan yang menerima susu getah, tidak akan menyedari berat kandungan susu getah yang sudah berkurangan semasa proses timbang semula dijalankan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata lelaki warga Pakistan ditahan di bawah Peraturan-peraturan 39(b) Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat permit kerja manakala tangkapan yang lain dan rampasan diserahkan kepada LGM untuk siasatan lanjut.
Shahrum berkata kes disiasat di bawah Peraturan-peraturan LGM (Perlesenan dan Permit) 2014 serta Peraturan 7(1)f, selain kompaun dan pembatalan lesen boleh dikenakan oleh LGM jika terbukti berlakunya pelanggaran syarat lesen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial