DUNIA > BERITA

Kebocoran Sisa Plastik Asia Ke Alam Sekitar Meningkat 70 Peratus Menjelang 2050 - OECD

10/08/2025 10:29 PM

TOKYO, 10 Ogos (Bernama-Kyodo) -- Kebocoran sisa plastik ke alam sekitar di negara Asia Tenggara termasuk China, Jepun dan Korea Selatan boleh meningkat hampir 70 peratus menjelang 2050 berbanding paras pada 2022 jika tiada langkah berkesan diambil untuk mengurangkan pencemaran itu, lapor Agensi Berita Kyodo yang memetik Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

OECD menyifatkan rantau itu sebagai "kawasan panas bagi pencemaran plastik" dan dalam laporannya menyatakan yang sisa plastik yang tidak diurus dengan baik kekal menjadi kebimbangan utama, dengan 8.4 juta tan bocor ke alam sekitar pada 2022.

“Amalan tidak formal dan tidak selamat seperti pembakaran terbuka dan pembuangan sampah terus ke persekitaran masih berleluasa di kebanyakan negara ASEAN dan China, khususnya di kawasan luar bandar,” menurut laporan Regional Plastics Outlook, merujuk kepada Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Sisa plastik adalah isu alam sekitar utama yang mencemari sungai dan lautan serta mengancam kesihatan hidupan liar dan manusia apabila mikroplastik memasuki tubuh badan.

OECD meramalkan kebocoran tahunan sisa plastik ke alam sekitar di rantau ini boleh mencecah 14.1 juta tan menjelang 2050, dengan 5.1 juta tan daripadanya boleh memasuki sungai, kawasan pantai dan lautan.

Negara di rantau ini menunjukkan perbezaan ketara dari segi keupayaan pengurusan sisa dan kebanyakan negara masih kurang menggunakan langkah untuk mengawal permintaan terhadap plastik, menurut laporan itu lagi.

Disebabkan sebahagiannya oleh pertumbuhan pesat penduduk dan perbandaran, penggunaan plastik di 13 negara itu meningkat hampir sembilan kali ganda daripada 17 juta tan pada 1990 kepada 152 juta tan pada 2022, dengan lebih separuh digunakan untuk aplikasi jangka pendek seperti pembungkusan, menurut OECD.

Memandangkan lebih separuh daripada penggunaan plastik di rantau ini mempunyai jangka hayat kurang lima tahun, kebanyakannya dengan cepat menjadi sisa. Sisa plastik serantau meningkat daripada 10 juta tan pada 1990 kepada 113 juta tan pada 2022.

Langkah berani seperti larangan penggunaan plastik sekali guna dan pelaksanaan cukai boleh mengurangkan penggunaan plastik di rantau ini sebanyak 28 peratus, meningkatkan kadar kitar semula kepada 54 peratus dan mengurangkan sisa yang tidak diurus sebanyak 97 peratus, menurut laporan itu.

Rundingan bagi perjanjian antarabangsa yang mengikat secara sah berkaitan pencemaran plastik disambung semula pada Selasa di Geneva, selepas rundingan terdahulu tahun lalu di Busan, Korea Selatan, gagal mencapai kata sepakat apabila negara berbeza pandangan mengenai kawalan pengeluaran plastik dan pengurusan sisa plastik.

-- BERNAMA-KYODO

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan