DUNIA > BERITA

Rakhine Berdepan Krisis Kebuluran Di Tengah Konflik

14/08/2025 02:02 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 14 Ogos (Bernama) -- Separuh daripada penduduk Negeri Rakhine di Myanmar kini berdepan kekurangan makanan yang teruk akibat konflik sivil berterusan, sekali gus mendesak komuniti antarabangsa supaya meningkatkan bantuan kemanusiaan.

Program Makanan Sedunia (WFP) menjelaskan gabungan faktor konflik, sekatan dan pemotongan pembiayaan telah mendorong peningkatan mendadak masalah kebuluran dan kekurangan zat makanan.

“Penduduk terperangkap dalam kitaran ganas, terputus hubungan akibat konflik, hilang mata pencarian dan dibiarkan tanpa jaringan keselamatan kemanusiaan.

“Kami mendengar kisah menyayat hati tentang kanak-kanak menangis kelaparan dan ibu-ibu terpaksa berlapar demi anak mereka.

“Keluarga melakukan segala yang termampu, namun mereka tidak dapat bertahan sendirian,” kata Wakil dan Pengarah Negara WFP di Myanmar, Michael Dunford dalam satu kenyataan media.

Rakhine, dengan populasi kira-kira tiga juta telah lama bergolak akibat konflik berdarah dan rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 hanya memburukkan lagi keadaan keselamatan.

Menurut WFP, jumlah keluarga yang tidak mampu mendapatkan keperluan makanan asas meningkat kepada 57 peratus, berbanding 33 peratus pada Disember lalu.

Keluarga kini terpaksa mengambil langkah terdesak untuk terus hidup, termasuk berhutang, mengemis, berdepan keganasan rumah tangga, berhenti sekolah, mengalami ketegangan sosial, malah terjerumus dalam pemerdagangan manusia.

Krisis kebuluran berpunca daripada konflik berpanjangan, sekatan pergerakan, kenaikan harga makanan, serta pengurangan bantuan ekoran pemotongan dana kemanusiaan.

“Tanpa tindakan segera, krisis ini akan berubah menjadi bencana sepenuhnya. Dunia tidak boleh berpaling,” tegas Dunford.

Agensi dunia itu memerlukan RM126 juta (US$30 juta) bagi membantu 270,000 penduduk di Rakhine bagi tempoh enam bulan akan datang.

Rakhine, yang bersempadan dengan Bangladesh turut menjadi tempat tinggal komuniti minoriti Rohingya yang telah dipindahkan dari kampung halaman mereka.

Perang saudara yang berterusan antara tentera Myanmar dan pelbagai kumpulan etnik terus menggugat kestabilan negara yang mempunyai hampir 50 juta penduduk itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan