ANNING, 15 Ogos (Bernama-CMG) -- Menteri Luar China Wang Yi pada Khamis mengundang rakan sejawatnya dari Kemboja, Prak Sokhonn dan dari Thailand, Maris Sangiampongsa untuk menyertai pertemuan santai di sini pada Khamis bagi membincangkan konflik di kawasan sempadan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu.
Wang berkata China menyokong Kemboja dan Thailand mengadakan dialog, menghapuskan kesalahfahaman, serta membina semula keyakinan bersama agar hubungan dan kerjasama dapat dipulihkan seperti sediakala.
Beliau turut menyatakan sokongan China terhadap pelaksanaan penuh Konsensus Mesyuarat Khas Jawatankuasa Sempadan Kemboja-Thailand, yang menekankan gencatan senjata yang telah bermula.
“ASEAN disokong untuk memainkan peranan yang kondusif dalam menangani isu ini, manakala Kemboja dan Thailand juga disokong supaya membuka semula pintu sempadan secepat mungkin demi kepentingan rakyat kedua-dua negara.
“China komited membantu Kemboja dan Thailand membersihkan periuk api di kawasan sempadan mengikut keperluan mereka,” kata Wang.
Sementara itu, Prak Sokhonn dan Maris Sangiampongsa berterima kasih kepada China kerana menyediakan peluang komunikasi itu dan memuji peranan membina yang dimainkan Beijing dalam menggalakkan dialog demi keamanan.
Dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua pihak sebulat suara menyatakan komitmen untuk keamanan, memelihara hubungan baik dengan negara jiran, melaksanakan perjanjian gencatan senjata serta memanfaatkan sepenuhnya mekanisme dialog bagi mengawal perbalahan daripada merebak.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial