DUNIA > BERITA

Pesona Anggerik Di Gardens By The Bay Rai 60 Tahun Hubungan Malaysia-Singapura

15/08/2025 09:26 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 15 Ogos (Bernama) -- Lebih 600 kuntum orkid dipamerkan di tengah-tengah latar seni bina Malaysia, hasil kraftangan halus dan pakaian tradisional di Gardens by the Bay, Singapura sehingga 7 Sept, bagi meraikan 60 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Singapura.

Dianjurkan dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, pameran Pesona Anggerik: Truly Asia Orchids menampilkan lebih 15 genus orkid, bersama kraftangan dan artifak asli seperti wau bulan Kelantan, tekstil Pahang, bakul anyaman dan penutup kepala suku kaum Sabah, serta pakaian tradisional Orang Ulu dari Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Gardens by the Bay, Felix Loh, berkata antara tarikan utama ialah orkid selipar wanita (Paphiopedilum Maudiae), kacukan daripada spesies yang berasal dari utara Semenanjung Malaysia dan Borneo, terkenal dengan kantung berbentuk selipar yang unik.

“Dihargai kerana dedaunnya yang berbintik dan bunga berwarna hijau atau burgundy yang menyerlah, ia mencerminkan kekayaan warisan botani Malaysia.

“Sama berharga ialah kraftangan dan artifak tradisional yang diperoleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia dari seluruh negara, menambah dimensi budaya pada pameran ini,” katanya pada majlis pelancaran, Jumaat.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar, berkata acara ini memperingati hubungan kukuh dan berterusan antara dua negara jiran yang sentiasa bersama melalui zaman perubahan dan cabaran.

“Kerjasama kita meliputi perdagangan dan infrastruktur hingga keselamatan, pelancongan, pendidikan dan kelestarian alam sekitar. Visi bersama kita mesti menjamin persahabatan berkekalan, kemakmuran bersama dan masa depan lebih cerah untuk semua rakyat,” katanya.

Pesona Anggerik: Truly Asia Orchids diadakan di Mediterranean Garden di bahagian Flower Dome di Gardens by the Bay dan dibuka dari 9 pagi hingga 9 malam sepanjang tempoh pameran.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan