DUNIA > BERITA

Presiden Singapura Lakukan Lawatan Kerja Ke Ipoh Sebagai Canselor NUS

16/08/2025 10:04 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 16 Ogos (Bernama) -- Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam, akan mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Ipoh, Perak, bermula 25 Ogos sempena Kejohanan Golf Tunku Canselor ke-54 Antara Universiti Malaya-NUS (Universiti Nasional Singapura) (Kejohanan Golf UM–NUS).

Pejabat Presiden Singapura berkata lawatan Tharman, yang dianjurkan oleh Canselor UM merangkap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, dibuat dalam kapasiti beliau sebagai Canselor NUS.

“Semasa lawatan itu, Presiden Tharman akan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar,” menurut kenyataan itu.

Sultan dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, turut akan meraikan Tharman, isterinya Jane Ittogi Shanmugaratnam, serta delegasi kedua-dua universiti pada majlis santapan malam di istana berkenaan.

Kedua-dua Canselor juga akan menyertai simposium akademik bersama UM-NUS mengenai kesihatan jitu.

Sementara itu, Tharman turut akan mengadakan lawatan kerja ke Geneva, Switzerland, dari 18 hingga 21 Ogos bagi menghadiri mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah dan Majlis Perniagaan Antarabangsa Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Beliau juga dijadual bertemu Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) Ngozi Okonjo-Iweala, dan beberapa pemimpin perniagaan terpilih, selain bertemu rakyat Singapura di Switzerland pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan