Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 19 Ogos (Bernama) -- Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura menahan sembilan individu disyaki terlibat dalam kegiatan mengatur perlawanan Liga Bola Keranjang Kebangsaan Divisyen 1 K. Star tahun ini.
CPIB dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan pihaknya menahan lapan rakyat Singapura dan seorang penduduk tetap, berusia antara 19 hingga 35 tahun, termasuk pemain daripada pasukan yang menyertai pertandingan itu.
“Satu daripada perlawanan yang dipercayai telah diatur adalah antara pasukan Tagawa dan Tong Whye yang berlangsung pada 1 Ogos 2025,” menurut CPIB.
Agensi itu menambah siasatan sedang dijalankan di bawah Akta Pencegahan Rasuah.
CPIB turut menegaskan pendirian tegas Singapura yang tidak bertolak ansur terhadap rasuah sambil menyatakan bahawa kegiatan mengatur perlawanan dalam apa jua bentuk tidak akan dibenarkan.
“CPIB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat jika mereka memberi, menerima atau menawarkan rasuah untuk mengatur perlawanan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial