GUIYANG (China), 22 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Jambatan Grand Canyon Huajiang, yang bakal menjadi jambatan tertinggi dunia apabila siap kelak, memulakan ujian beban utama pada Khamis, menandakan satu pencapaian penting menjelang pembukaannya pada September, lapor Xinhua.
Apabila beroperasi, jambatan di Wilayah Guizhou, barat daya China itu akan menjadi yang tertinggi di dunia dengan dek setinggi 625 meter dari permukaan sungai. Jambatan sepanjang 2,890 meter dengan bentangan 1,420 meter itu juga bakal menjadi jambatan dengan bentangan terbesar di kawasan pergunungan.
Ujian beban yang dijadualkan berlangsung hingga Ahad bertujuan mengesahkan kapasiti struktur dan tahap keselamatan jambatan, yang merupakan sebahagian daripada Lebuh Raya Liuzhi ke Anlong. Sebanyak 18 lori dengan jumlah berat 630 tan digunakan pada Khamis, dan sepanjang empat hari proses itu bilangan lori akan ditambah secara berperingkat sehingga mencapai tekanan maksimum 3,300 tan.
Lebih 400 sensor dipasang bagi memantau perubahan bentuk dan tekanan pada menara utama, kabel serta dek jambatan di bawah pelbagai keadaan statik dan dinamik.
“Ujian ini adalah yang terakhir dan paling kritikal sebelum jambatan dibuka kepada lalu lintas,” kata pengurus projek syarikat pembinaan berkenaan, Wu Chaoming.
Dengan 92.5 peratus daripada tanahnya terdiri daripada kawasan pergunungan dan bukit, Guizhou telah membina hampir 30,000 jambatan sejak akhir 1970-an – dan kini menempatkan hampir separuh daripada 100 jambatan tertinggi di dunia.
Jambatan Grand Canyon Huajiang dijangka meningkatkan rangkaian pengangkutan serantau dan merangsang pembangunan ekonomi dengan memperkukuh keterhubungan di kawasan pergunungan itu.
--BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial