DUNIA > BERITA

China, Malaysia Tegaskan Komitmen Perkasa Kerjasama

04/09/2025 03:04 PM

BEIJING, 4 Sept (Bernama-CMG) -- China dan Malaysia senada untuk terus memperkukuh rasa saling percaya dari segi politik serta memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang.

Kesepakatan itu dicapai hasil pertemuan Perdana Menteri China Li Qiang dengan rakan sejawatnya dari Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Beijing pada Selasa.

Anwar berada di China bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025 serta majlis memperingati ulang tahun ke-80 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia.

Dalam pertemuan itu, Li menegaskan kedua-dua negara perlu memperkasa kerjasama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta memperkukuh kolaborasi dalam perdagangan, pelaburan, infrastruktur, sosiobudaya dan bidang lain.

China turut menghargai peranan proaktif dimainkan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan bersedia meningkatkan koordinasi pelbagai hala dengan Malaysia dalam mempertahankan multilateralisme dan perdagangan bebas.

Sementara itu, Anwar mengulangi komitmen Malaysia untuk mempererat kerjasama dalam pelbagai bidang dengan China.

Beliau berkata pihaknya menyambut baik Inisiatif Tadbir Urus Global (GGI) yang baru disyorkan Presiden Xi Jinping sempena persidangan SCO, dengan menyifatkan ia amat signifikan bagi menambah baik sistem tadbir urus global.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan