Daripada Voon Miaw Ping
BEIJING, 3 Sept (Bernama) -- Malaysia melihat tiada keperluan untuk menyertai Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) buat masa ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Sebaliknya, beliau berkata Malaysia perlu menumpukan usaha memperkukuh ASEAN sambil meneroka peluang untuk meningkatkan lagi penglibatan dan kerjasama dengan SCO.
“Kita sudah ada ASEAN dan ASEAN perlu diperkasakan lagi, selain mengadakan hubungan lebih baik dengan SCO,” katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China selama empat hari di Beijing dan Tianjin.
Mohamad turut mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan kerja itu.
Beliau berkata Anwar dijemput oleh Presiden China Xi Jinping untuk menghadiri Sidang Kemuncak SCO, dan beliau juga menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak SCO Plus.
“Perdana Menteri dijemput sebagai tetamu khas dan diberi peluang berucap di forum berkenaan. Buat masa ini kita tidak mempunyai keperluan untuk menjadi negara anggota SCO,” katanya.
Pertubuhan Kerjasama Shanghai yang ditubuhkan pada 2001 merupakan organisasi antara kerajaan antarabangsa yang bertujuan menggalakkan kerjasama berkesan dalam pelbagai bidang, termasuk politik, ekonomi, keselamatan dan kestabilan serantau, sains dan teknologi, tenaga serta pengangkutan.
SCO kini mempunyai 10 anggota iaitu China, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan, India, Pakistan, Iran dan Belarus, mewakili lebih tiga bilion penduduk atau kira-kira 45 peratus daripada jumlah penduduk dunia.
Gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara-negara anggota pada 2023 pula merangkumi kira-kira 32 peratus daripada jumlah keseluruhan dunia.
SCO juga mempunyai dua negara berstatus pemerhati serta 14 rakan dialog.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial