DUNIA > BERITA

Jakarta Terus Laksana Rondaan Harian Bagi Pulihkan Keamanan

04/09/2025 07:16 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 4 Sept (Bernama) -- Tentera Indonesia melancarkan rondaan berskala besar setiap hari di seluruh Jakarta Raya sejak 31 Ogos lalu susulan tunjuk perasaan ganas berhubung elaun kontroversi Parlimen, sambil menggesa penduduk bersama-sama mengekalkan keamanan dan ketenteraman.

Pasukan tentera dikerah tiga kali sehari iaitu pada 1 pagi, 10 pagi dan 8 malam — menggunakan motosikal, kenderaan taktikal, trak serta kereta pengiring bagi memastikan keselamatan di ibu negara dan kawasan sekitarnya.

Leftenan Kolonel Erly Merlian yang mengetuai operasi itu berkata rondaan akan diteruskan sehingga keadaan benar-benar pulih dan Jakarta kembali normal sepenuhnya.

Beliau berkata keadaan semasa rondaan sebelum ini dan pada malam Rabu adalah tenang, dengan penduduk meneruskan rutin harian mereka termasuk bekerja, membeli-belah dan aktiviti harian lain.

“Jakarta kembali berada dalam keadaan stabil dan selamat, tetapi ia masih memerlukan usaha bersama untuk mengekalkannya.

“Dengan langkah tepat serta penglibatan meluas, bandar ini dapat mengekalkan keadaan positif ini,” katanya pada sidang akhbar selepas rondaan.

Pada malam Rabu, ratusan tentera digerakkan dari Monumen Nasional, melalui Stesen Kereta Api Gambir, Masjid Istiqlal, Pasar Senen, Bulatan Hotel Indonesia (HI) serta kawasan perniagaan Sudirman dan Kuningan sebelum menamatkan rondaan sekitar 11.30 malam.

Pasukan tentera yang dikerah turut beramah mesra dengan penduduk, menyiarkan mesej keselamatan melalui pembesar suara di atas trak pikap, dan berbual dengan orang ramai di kawasan tumpuan.

Kekacauan bermula selepas sebuah kenderaan polis merempuh seorang penunggang ojek berusia 21 tahun ketika cuba menyuraikan penunjuk perasaan pada 28 Ogos.

Rusuhan serta vandalisme di bangunan legislatif dan premis polis di ibu negara itu merebak ke bandar lain, dengan sekurang-kurangnya 10 orang disahkan terkorban.

Pegawai polis yang memandu kenderaan itu telah dipecat daripada pasukan selepas dibicarakan oleh tribunal etika dalaman pada Khamis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan