Daripada Massita Ahmad
KUNMING, 6 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyifatkan penganjuran Forum Media dan Kumpulan Pemikir Selatan Global 2025 oleh Agensi Berita Xinhua sebagai wadah penting dalam memperkukuh kerjasama media antarabangsa, khususnya dalam mengangkat suara negara membangun.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata kejayaan Xinhua menghimpunkan kira-kira 500 wakil media dari pelbagai negara dalam forum tersebut jelas menunjukkan komitmen dalam memperluaskan perbincangan mengenai isu-isu global yang melibatkan negara-negara Selatan Global.
“Bagi pihak Bernama, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Xinhua kerana berjaya mengumpulkan rakan-rakan media dalam forum ini, yang pelbagai topik penting dibincangkan mewakili suara daripada negara-negara Selatan Global,” katanya.
Beliau berkata sebagai rakan strategik dan rakan bersama dalam Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia Pasifik (OANA), Bernama amat berbangga kerana pada awal tahun ini kedua-dua agensi telah berjaya menganjurkan forum serupa secara bersama.
Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China yang julung kali diadakan berlangsung di Kuala Lumpur pada April lalu, menghimpunkan 200 pegawai kerajaan, pemimpin media terkemuka dan pakar dari seluruh rantau serta China bagi memperkukuh hubungan dan memupuk penglibatan yang lebih mendalam.
Forum itu yang dianjurkan bersama Bernama dan Xinhua dengan tema “Mengukuhkan Kerjasama ASEAN-China”, bertujuan memudah cara perbincangan mendalam mengenai pelbagai isu penting kepada ASEAN dan masyarakat antarabangsa.
“Apabila Xinhua menjemput Bernama menyertai forum di Kunming ini, saya melihatnya sebagai peluang untuk bertukar pandangan dengan rakan-rakan media dari negara-negara Selatan Global yang lain. Justeru, saya memuji peranan Xinhua yang berterusan dalam memperkukuh jaringan kerjasama ini,” ujarnya.
Mengulas ucapan pembukaan Presiden Xinhua Fu Hua, beliau turut sependapat mengenai kepentingan memperluaskan suara negara-negara Selatan Global di peringkat antarabangsa.
“Inilah masanya media seluruh dunia berkongsi pandangan, sekali gus terus meningkatkan integriti dan profesionalisme dalam bidang kewartawanan seperti yang sepatutnya kita lakukan,” katanya.
Menyentuh mengenai peranan teknologi dalam bidang media, beliau menegaskan bahawa perkembangan seperti kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan dengan bijak.
“Benar, teknologi memainkan peranan penting untuk kita berkembang maju. Namun, pada masa yang sama, kita harus berwaspada. Gunakan teknologi untuk memudahkan kerja kita, tetapi suara nurani tidak harus sekali-kali dipinggirkan,” katanya.
Pada masa sama, Nur- ul Afida menekankan pentingnya wartawan khususnya yang baru menyertai bidang media supaya sentiasa mengamalkan etika kewartawanan dalam tugas terutama dalam menyalurkan maklumat sahih.
Kira-kira 500 peserta terdiri daripada wartawan, ahli akademik, wakil kerajaan dan pemimpin perniagaan dari 110 negara serta pertubuhan antarabangsa dan serantau berhimpun pada Jumaat di Wilayah Yunnan, barat daya China, bagi menghadiri Forum Media dan Kumpulan Pemikir Selatan Global 2025.
Forum itu bertujuan mengubah peranan ekonomi Selatan Global yang semakin berkembang - yang merangkumi 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan 80 peratus pertumbuhan global - kepada suara yang lebih berpengaruh dalam dialog dan komunikasi antarabangsa.
Sepanjang program lima hari itu, para delegasi akan bertukar idea dan meneroka kaedah untuk menterjemahkan tema “Memperkasa Selatan Global, Mendepani Perubahan Global” kepada projek dan penyelesaian yang konkrit.
Jadual acara merangkumi sesi pleno dan bengkel khusus meliputi isu seperti naratif berorientasikan keamanan, bilik berita berasaskan kecerdasan buatan (AI), perlindungan warisan budaya serta tema lain yang berkaitan.
Dua dokumen utama dijangka diumumkan - Konsensus Yunnan iaitu komitmen bersama untuk meningkatkan pengeluaran dan analisis berita secara kolaboratif, serta laporan penyelidikan mengenai sumbangan China terhadap sumber intelektual awam global yang menyoroti amalan terbaik daripada kerjasama Selatan-Selatan.
Forum berkenaan juga bertepatan dengan penubuhan rasmi Rangkaian Perkongsian Komunikasi Bersama Selatan Global, yang menghimpunkan lebih 1,000 organisasi media, kumpulan pemikir dan institusi berkaitan dari 95 negara dan wilayah.
Ini menandakan edisi kedua forum itu, yang dianjurkan bersama oleh Agensi Berita Xinhua, Jawatankuasa CPC Wilayah Yunnan dan Kerajaan Rakyat Wilayah Yunnan, selepas mesyuarat sulungnya di Sao Paulo, Brazil, pada November lalu.
Istilah “Selatan Global” merujuk kepada kumpulan negara-negara sedang membangun di Asia, Afrika, Amerika Latin dan Oceania. Ia bukan sebuah blok rasmi, sebaliknya konsep geopolitik yang menggambarkan suara kolektif negara membangun dalam menuntut keadilan serta keseimbangan dalam sistem antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial